Monday, October 17, 2011

Silent Game 1

Peperiksaan sedang berlansung, dan teacher sedang mencari game selepas peperiksaan akhir tahun. Teacher mengajar kelas yang lemah kebanyakannya, jadi nak buak game agak sukar, sukar untuk kawal kelas, pelajar akan amat gembira bila buat game, sehingga boleh berakhir dengan pergaduhan, jadi kesian pada kelas-kelas akhir ni, kerana pembelajaran melalui game...akan cuba dielakkan.

Jadi, teacher nak buat 'silent game'..ada beberapa yang ada dalam fikiran, dan harini google..dapat yang ni:-

Yea, those a good games.. but another good one is called the paper game. It's fun, easy, and quiet.

How to play is make sure each student has a piece of paper, and they draw a picture. Then they fold over the picture and pass it to the person to their left. They look at the picture, try to guess what it is, and then write a short sentence about it. Then they fold it up, and then next person draws a picture about that sentence, etc. Then.. once the paper is full, they pass it back to the original person.
A great game kids can play and be occupied with!

Dari sini.

Friday, September 23, 2011

Keajaiban itu ada dimana-mana

Kelas aku baru menang johan koir minggu patriotik. Aku rasa ajaib sebab, mula-mula pelajar-pelajar ni tak yakin, dan berlatih cuma sehari sebelum pertandingan. Kelas ni, kelas pandai, tapi nakal. Namun nakal biasa je.
Yang paling kelakar, masa pertandingan, Wafi boleh tergelak waktu sedang menyanyi. Sebab wafi ni memang suka buat lawak dalam kelas, jadi bila dia terpaksa serius dan fokus, jadi dia agak payah. Nasib tetap menang.

Wednesday, September 7, 2011

Omelan

Kalaulah ada jawatan tukang key in segala data, tanpa perlu mengajar, mungkin aku dah volunteer. Entahlah, akhir-akhir ni cikgu asyik merungut je. Setiap kali bangun, fikir markah mana lagi nak key in, apa lagi yang tak di buat. Persediaan mengajar entah kemana, nasib dah lama mengajar, jadi idea tu dah sedia ada, cuma nak letak kreatif-kreatif je.

Kadang-kadang aku kesian dengan pelajar-pelajar. Kelas paling lemah, paling ramai pelajar, apa rasionalnya, matilah semua kelaut.  Nak buat ujian lisan pun jadi rumit.

Aku tahu ada pelajar yang terkapai-kapai, tapi belum sempat aku tumpu pada mereka..ada lagi sepuluh pelajar yang melompat-lompat dan main tumbuk-tumbuk. Kesian, sedih pun ada. Bila masuk kelas yang sesak dan bermasalah ni, tenaga macam nak pergi berperang. Kelas petang lagi parah, tenaga yang tinggal separuh terus lompat ke negatif.

Aku kadangkala tak faham kat mana kerajaan labur duit. Sekolah dua sesi masih wujud, sekolah menumpang pun masih wujud. Woi orang atas buta ke? Anak-anak kau semua sekolah asrama penuh je.

Emo aku harini. Maaf, cikgu pun manusia juga, sabar tetap ada sukatannya. Kalau aku kaya, aku takkan hantar anak ke sekolah kerajaan.

Thursday, August 25, 2011

Raya!

esok jumaat, aku tak tahulah mood apa yang masih berbaki kat budak-budak ni. Tadi dengar ada bunyi mercun dari asrama putra, aku buat tak tahu saja, sebab aku dalam kelas 1pk4 tu, kalau aku dalam kelas 1ka3, mesti aku berbual sama dengan diaorang, betapa aku menantikan bunyi letupan mercun dari tandas pelajar lelaki, setiap kali nak raya atau tahun baru cina.

Aku gemarkan rasan teruja itu. Sebab akan mengingatkan kan aku pada kenangan sekolah dulu, seludup-seludup beli mercun dan bunga api, dan dengan ghairahnya menunggu member kami bakar mercun di tandas, haha.

Dulu masa baru pindah melaka, aku akan tanya pelajar-pelajar jika ada yang bawa mercun atau jual bunga api, kawtim baik-baik, dapatlah beli murah dengan mereka, tapi diluar sekolah ya.

Tapi sekarang, terutamanya tahun ni, aku lihat haraga bunga api pun dah cecah harga tak munasabah, jadi ni memang betul kes bakar duit.Haha.

Ada pelajar yang nak datang kerumah, aku alu-alukan.

Wafi semalam, datang jumpa aku, secar personal.

"Cikgu, maaf zahir batin, saya tahu saya selalu bising dan buat cikgu marah"

Aku gelak, sebab dia minta maaf dengan nada amat serius. Jadi kelakar pula pada aku.

Masalah lapuk

Lama aku tak berblog, banyak tuntutan hidup yang menyukarkan aku untuk menulis. Tahun ini benar-benar mencabar bagi aku. Cabaran ini rasaku, pernah aku rasa, sewaktu aku disabah. Aku mengajar kelas yang amat lemah dan, pelajarnya tidak begitu fasih bahasa melayu.

Tapi di Sabah cabarannya agak lain, kerana masa tu aku masih muda dan tenaga seolah berada diperingkat optima.

Kalini, getir juga.

Kelas 1PK4, selalu buat aku bagai berperang, selalu buat aku bagai mengheret kaki yang dah sedia lemah, kerana kelas ini selalunya kelas akhir didalam jadualku. Hampir separuh pelajar adalah berbangsa cina, dan separuh dari mereka selalu berlagak bahawa mereka tidak memahami bahasa melayu mahupun English. Dan lebih getir, mereka membenci sesiapa yang berbangsa melayu.

Pelbagaio cara, pelbagai teknik aku gunakan, tapi keadaan masih tak berubah.

Dan penghujung bulan ogos dan juga ramadhan ini, aku hampir berputus asa. kelas ku biar hingar, dan aku menulis latihan grammar dipapan tulis, apabila aku menerangkan dan menunjukkan contoh, mereka menjawab didalam bahasa mandarin, dan ketawa.

Bila aku memanggil dan mengajar bersama didalam apa-apa aktiviti, ada yang sekadar bertanya balik "apa?"..."cikgu, cakap cinalah, kami tak faham lain".

...entah.

Friday, July 29, 2011

Kadangkala ada benda diluar kawalan kita

Dua hari lepas, Eugene hampir dibelasah diluar kelasku, segerombolan pelajar Melayu..membela dia, dan dia hampir dipukul oleh kumpulan pelajar Cina sendiri. Aku meleraikan dengan kuasa guru yang sedang mengajar diwaktu itu. Dalam sekolah dan dihadapan kelasku, bolehlah aku meleraikan, kalau dilain tempat dan dilain waktu, belum tentu.

Bila mendengar cerita Eugene, memang aku dapati ni kes kecil, tapi menjadi besar bila melibatkan geng. Sepanjang lepas sekolah..dari jam 8 malam hingga 11, aku bersms dengan Eugene, tanya keadaan dia.

Risau juga aku, aku buat aduan pada Miss W, guru cina yang masih bujang, selalunya kes pelajar Cina memang aku rujuk pada dia. Kata dia kalau berlaku diluar sekolah dah bukan kuasa guru lagi. Aku akur itu. Tapi sebagai seorang manusia yang kenal pada si Eugen ni, takkanlah aku nak rasa tenteram bila tahu dia mungkin kena belasah diluar sekolah.

Aku cuma pesan pada Eugene, jangan berurusan dengan samseng-samseng ini, sekali saja mereka mengugut dia dah boleh buat laporan polis. Nasiblah aku ada simpan nombor telefon dia, sekurangnya dia boleh maklum apa yang yang berlaku.

Teringat Shail, yang kini dah pun berhenti sekolah dan bekerja 3 pekerjaan dalam sehari. Kerja kilang dimalam hari, kerja hotel waktu pagi dan kerja menjual cenderamata di Bandar Hilir pada sesetngah masa waktu siangnya.

Shail pernah sekali dua meminta untuk tinggal dengan aku, yang jelasnya sangat sukar untuk kutunaikan, aku bujang dan dia pelajar lelaki berusia 15 tahun..mana mungkin, dan lagipun dia dah terlalu matang dari segi usianya.

Sunday, July 3, 2011

Waris jari manusia

Hari khamis lepas perjumpaan waris, dan haritu juga hari lahir aku. Meriah jugalah budak-budak ni mendengdangkan lagu"happy birthday, teacher" pada aku.

Pada pelajar yang tiada masalah displin, pasti mak ayah berbunga-bunga hati bila aku cakap.."bertuah makcik, anak makcik ni baik je dalam kelas, tiada masalah, cuma kadang-kadang dia main pensel macam main permainan anak patung je bila dalam kelas"

Dan kebanyakannya ibu bapa mula menyuarakan kebimbangan, anak depa selalu main facebook je kat rumah. Aku cakap mudah je, kena sekat, bagi main seminggu sekali je, ada parents tanya balik, macamana nak kawal, aku cakap, pergi kerja, tanggalkan kabel monitor, bawak pergi kerja sekali, hari minggu je bagi. Mereka gelak, walhal aku cakap ni serius, dan aku tengok ada pelajar yang muka bengang dengan aku.

Dalam diam aku fikir balik, mak ayah tak tahu pasal komputer sangat, tapi anak berleluasa depan komputer, entah apa akan jadi. Dan boleh, tanya aku pula macamana nak kawal, sedangkan pelajar depan mata aku ni, anak mereka. Budak, kalau diberi kebebasan semuanya, memanglah hancur, mereka terlalu mentah lagi nak fikir mana yang buruk dan baik.

Dan ada pelajar yang manja betul dengan maknya, macam kakak dengan adik, tapi budak ni kat kelas memang senyap dan baik, ya, bagi aku, kalau rapat dengan mak ayah, hidup macam dah sempurna, tiada apa nak risau, itu sebaiknya.

Ada yang gembira bila mak ayah tak dapat datang, walhal aku dulu, sayu je tengok mak ayah datang, rasa teruk sangatkah aku ni sampai mak ayah taknak datang jumpa cikgu aku, tapi aku faham, jauh dilubuk hati mereka juga akan bangga kalau mak ayah datang.

Paling sedih kalau mak ayah tak tahu pun pelajar tu tingkatan berapa.

Thursday, June 23, 2011

Kerana Kacakkah?

Dalam salah sebuah kelas ku ada seorang pelajar perempuan ni chubby orangnya, dan berkulit cerah, dan...perwatakannya kasar dengan kawan-kawannya. Hmmm..mengingatkan aku pada seseorang..haha.

Pelajar ni selalu tak datang sekolah, walaupun pada awalnya aku dapati English dia agak baik, berbanding pelajar-pelajar lain, dia didalam kelas kedua akhir.

Pelajar ni sebenarnya agak aku kenali keluarganya. Pakciknya adalah rakan sekelas aku, ayahnya pernah menjadi model di kaca tv. Teringat aku, rakan-rakan ku heboh satu masa dulu pasal ayahnya dikaca tv. Cikgu-cikgu juga, mungkin bangga..juga agaknya. Pakciknya dan ayahnya dahulu antara pelajar lelaki yang amat digilai rakan-rakan perempuanku dahulu. Kacak..amat kacak, mirip wajah kacukan dan berdagu runcing, memang kalau berlakon dan ada bakat, mudah sangatlah nak naik.

Datuk kepada pelajar ni adalah Pengetua yang dikenali, pernah jadi guru displin disekolahku masa aku Tingkatan 2 dahulu. Disegani dan digeruni pelajar. Tak segan-segan juga menampar anaknya sendiri dikelas kami.

Namun, pelajar ni, aku rasa sedang menghadapi saat getir sebagai pelajar. Bapa dan pakciknya, berniaga sendiri di pasar malam, berlainan lokasi setiap hari, menjual gadget telefon secara online, dan pelajar ni, setiap malam mengikut ayahnya bekerja, kerana dia anak sulung. Pakciknya, yang pastinya sebaya aku, dah agak berjaya dalam perniagaan, tetapi tak dapat banyak membantu ayah kepada pelajarku ni.

Kedua beradik ni, iaitu kawanku dan ayah kepada pelajar ni, tak silap aku tidak menyambung pelajaran selepas sekolah menengah, walhal pelajaran mereka tidak lah teruk.

Aku: Kenapa awak jarang sangat datang sekolah, exam pun tak ambil?
Pelajar: Balik 5 pagi cikgu, lepas tolong ayah, memang tak boleh bangun dan nak kesekolah.
Aku: tak boleh ke tinggal rumah?
Pelajar: Takde orang tolong ayah.Mak jaga adik.
Aku: Pakcik kamu tahu?
Pelajar: Tahu.
Aku: Atuk tahu?
Pelajar: Tak, cikgu..(lantas dia tundukkan wajahnya)

Teringat aku, kisah ayahnya yang ligat bermain cinta, dan jika ayahnya hanya tua dua tahun dari aku, dan kini anaknya adalah pelajar aku, boleh dibayangkan seawal mana dia berkahwin. Dan kini, mangsanya ialah pelajar didepan aku ini.

Tuesday, June 21, 2011

Sukan nak mula

Cikgu memamng sibuk lah kalau bab sukan ni. Masuk kelas pun memang banyak kena guna aura sabar sebab letih dah bersukan waktu pagi, lepastu mengajar waktu petang tu yang kelas petang lah. Student pun masa nilah banyak sakitlah apalah, sebab letih waktu sukan, tapi student letih boleh ponteng sekolah...cikgu? Takyahlah menyusahkan sekolah je kalau cikgu tak datang kerja, kalau cikgu MC..alamatnya berbakullah cikgu-cikgu lain mengomel sebab kena relief.

Minggu depan karnival ko-ku, aku kena jaga perkhemahan, hmmm...dua tahun lepas, aku jadi Kem Komandan, hampir kena bergelut dengan budak perempuan sebab kes handphone. Malas nak cerita.

Paling best waktu sukan ni sebab dapat rileks dengan budak-budak di padang, sambil buat kerja sambil bercerita benda yang bukan pasal pelajaran, hidup bukan dalam kelas je kan. Contohnya, masa nilah dapat tahu pelajar mana minat pelajar mana, dan juga dapat tahu stail pelajar diluar kelas.

Cikgu masa sekolah dulu, terikut jugak trend letak namtag kat lutut, masa tu tak rasa bodoh,rasa cool kononnya, sebab orang lain tak buat, haha.

Friday, June 17, 2011

Prosedur nak pindah sekolah

Ramai ibu bapa mengeluh bila proses nak pindahkan anak dari satu sekolah ke sekolah yang lain. Sebenarnya senang saja, kalau tahu prosedur, walaupun penat, tapi sekurang-kurangnya sekali saja buat dan selesaikan.

Anda akan menyukarkan diri anda dan juga pihak sekolah, andainya anda memindahkan anak anda hanya dengan proses di Jabatan Pelajaran. Anda perlu melalui pihak sekolah dahulu, jika tidak mahu sebarang kesulitan yang lain timbul. Kerana untuk pengetahuan anda, tak semua Pejabat pelajaran rajin nak memaklumkan pada pihak sekolah. Andalah yang bernasib malang, kerana apabila pihak sekolah tidak dimaklumkan, maklumat anak anda akan tergantung statusnya disekolah lama, dan anda mungkin akan menerima surat buang sekolah dari sekolah lama.

Pertama, ambil borang pindah dari sekolah, sila jangan lompat langkah ini. Apabila anda mengambil borang pindah dari sekolah, mengisi maklumat-maklumat anda, satu senarai semak untuk mengambil dokumen-dokumen anak anda disekolah juga akan disertakan. Dan dalam masa yang sama, waktu ini, pihak kerani akan menyediakan surat permohonan pindah yang perlu anda bawa ke Jabatan Pelajaran Daerah.

Kedua, Minta anak anda ambil semua dokumen-dokumen dia dari guru-guru yang berkenaan:

Guru Kelas:Fail profile pelajar, buku rawatan kesihatan, kad kemajuan (bergantung pada sesetengah sekolah)

Guru Sejarah: Folio Sejarah
Guru Geografi: Folio Geografi
Guru K.Hidup: Folio Kemahiran Hidup
Guru Bahasa Inggeris: Ujian PLBS
Guru Bahasa Melayu: Ujiam PLBS
Guru P.Islam: Borang PAFA
Guru Sains: Fail PEKA

Lengkap kesemua ini, bermaksud anda telah memberi kerjasama yang baik pada pihak sekolah.

Ketiga, setelah surat permohonan pindah dari pihak sekolah siap, sila ambil dari kerani, pastikan ambil dalam kadar segera, supaya surat anda tidak hilang. Bawa surat ni ke Jabatan pelajaran, unit sekolah menengah, bagi yang sekolah menengah. Dan..anda akan diarahkan mengisi borang, sekolah mana anda kehendaki.

Keempat, sila hubungi sekolah yang dikehendaki atau datang sendiri kesekolah itu, untuk memastikan sekolah ini mempunyai kekosongan dan anak anda boleh ditempatkan disini. Sekiranya pengetua mengatakan anak anda boleh diterima, maklumkan kembali kepada pihak Jabatan.

Kelima, maklumkan kepada pihak sekolah lama, yang anak anda telah diterima masuk kesekolah yang baru, pihak sekolah akan menyediakan surat makluman perpindahan beserta senarai semak dokumen yang dibawa ke sekolah baru.

Sekian, selamat mengharungi hidup baru disekolah baru...hehe. Tolong awasi anak anda, kerana kes buli pelajar baru adalah perkara biasa di semua sekolah di Malaysia. Dan meadaptasi situasi baru disekolah, bukan lah perkara mudah bagi pelajar, ada pelajar yang kecundang pada tahap ini dan menjadi remaja yang bermasalah hanya kerana kes perpindahan sekolah.

Harap maklum, prosedur ini tepat 100% untuk sekolah menengah, setiap dokumen mungkin berbeza mengikut tahap menengah rendah dan menengah atas. Namun prosedur dari Sekolah ke Jabatan Pelajaran adalah prosedur tetap yang harus dilalui, kecualilah kalau anda adalah Ketua Jabatan Pelajaran Negeri.

Wednesday, June 1, 2011

Kisah #adindaevans

Malam ni, twitter time line aku diterjah oleh twitter #tokrimau, tentang #adindaevans, yang mula-mulanya aku memang tak faham. Ya, sambil menanda kertas, sambil aku bersiaran lansung dengan twitter, agak-agak tahun bila habis kertas-kertas ni, kena teliti, nanti bagi markah tak kena pula kan. Dan kalau fokus sangat menanda malam-malam ni, jawabnya katil memanggil.

Rupanya setelah diselidiki, rupanya ia kisah tentang seorang blogger yang memanggil dirinya Daten Milano. Twitter tentang beliau menjadi hangat dalam tempoh 24 jam, dan menjadi tempat ke tiga paling hits Twitter trending dunia.

Bila baca-baca rasa nak ketawa pun ada, tapi sedih pun ada. Ya, aku tahu cikgu ni pun bukannya baik sangat, tapi terasa pula dekat hati, terbayang kalau Datin Milano ni salah satu pelajar aku.  Kesilapan dia adalah membuat blog dan memperkatakan tentang hidup dia tanpa penapis. Bagi aku, sedih la, sebab budak ni tak tahu lagi betapa hebatnya kesan internet pada masyarakat. Dia dah menggelapkan masa depan dia sendiri. Tanpa dia sedar.

Disini, aku tertanya-tanya, manalah penjaga kepada budak ni, tak sedar ke kewujudan budak ni dalam internet dah jadi amat hangat, dan betapa terlepas pandangnya mereka terhadap anak gadis yang seorang ni.

Kalau adindaevans ni berumur 21 tahun ke atau 31 ke, memang aku tak begitu kesal, sebab dia sepatutnya dah boleh berfikir akan kesan segala apa yang dia lakukan, ya walau semua orang buat kesilapan, tetapi...beb kesianlah kat remaja ni dia hanya berumur 14 tahun. Macamana dia nak hadapi masyarakat, bila dia dah terasa bahananya blog yang dia tulis sekadar suka-suka.

Aku harap ada cikgu-cikgu pelajar ni yang cepat kesan blog ni dan bagi kaunseling agar pelajar ni tutup blog dia. Bila dah penjaga mungkin tak peduli, yang tinggal cikgu-cikgu disekolah sajalah yang boleh diharapkan.

Aku tahu ramai yang kata, alah ramai budak macam ni sekarang, jadi, adakah anda boleh tutup mata dengan yang seorang ni? Selagi blog ni tidak ditutup, budak ni takkan boleh angkat muka kat sekolah, bila sampai masa dia sedar kesilapan ni.

Semua mengutuk remaja ni, bagaimana kalau pelajar ni adalah seseorang yang kita kenal? Nak sesama bergossip juga? Budak ni masih tak tahu apa-apa, dia tak sedar dia dah buat silap, budak umur ni masih dok terpacak tengok Naruto lagi, kena terang apa yang silap pada tuan empunya diri.

Kalaulah aku tahu dimana budak ni bersekolah, nak saja aku telefon sekolah dan suruh cikgu bimbingan kaunseling cari budak ni. Ya, mungkin ada cikgu kaunseling disekolah yang perangai pun hampeh tak tahu dan dekati pelajar, tapi sekurang-kurang sesuatu perlu dilakukan.

nota: pada 18hb 6, aku sedari blog adindaevans telahpun dipadam.Its a good thing to do,dik

Tuesday, May 31, 2011

cuti

Anak murid je cuti. Cikgu kena buat kelas tambahan dan juga tanda kertas.
Published with Blogger-droid v1.6.9

Thursday, May 26, 2011

Beberapa watak siri 2

Su Eugene, dia ni taiko kelas sejak Tingkatan 1. Pelajar-pelajar memang takut dengan dia. Dia pernah bersekongkol dengan Shaifuldin dalam satu komplot membuli Christopher ketua tingkatan kelas 1kt1 (kelas yang aku menjadi guru kelas tahun lepas, dan kini aku menjadi guru kelas 2kt1). Kerana komplot mereka, semua pelajar lelaki kelas ni kena rotan dengan cikgu mustafa kamal.

Dan dia juga memang akan berkeras tak mahu pindah tempat duduk sekiranya aku arahkan, terutamanya tahun lepas, sehingga aku terpaksa atur dan ubah kedudukan pelajar lain yang dia takkan buli, jauh dari dia. Masa tingkata 1 dulu memang paling payah. Ibu bapa mengadu pada aku anak mereka dibuli, dipukul dan juga diambil barang oleh geng Su Eugene ni. Aku kena susun betul-betul pelajar yang tak boleh dibuli sahaja yang duduk berhampiran dengan taiko yang seorang ni.

Tapi, taiko ni selalu takut dengan perjumpaan ibu bapa, selalu dia risau. Dia kata kalau exam dia teruk, mak dia tak bagi main bola keranjang. Dia minat betul dengan bola keranjang. Lalu aku buat perjanjian dengan dia, kalau dia dapat wakil negeri, aku akan belanja dia KFC. Kerana risau exam dan minat dengan bola keranjang, dia pulun dalam study. Cincai-cincai pun, dia akan buat kerja rumah, dia akan hantar semua kerja, walaupun dia yang akhir, walaupun dengan tulisan hampir susah nak dibaca.

Tingkatan 2, dia dapat masuk 2kt1, walaupun ramai cikgu jangka dia akan ke kelas corot. Tingkatan 2 dia lebih matang, kawan-kawan dia, Shaifuldin dan Wafi sekarang lebih menonjol dalam akademik, semua mereka ni budak nakal yang selalu membuatkan darah tinggi cikgu-cikgu yang mengajar..mencapai level tinggi.

Budak-budak yang dia buli dulu, jadi kawan dia, walaupun aku pernah nampak dia seligi kepala Sasikumar yang fokus ke tempat lain sewaktu sedang ajar dia math. Sasikumar pelajar baru, pernah dalam kelas aku tanya depan-depan pelajar lain, apa perasaan dia masuk ke kelas ni.

Sasikumar: Hm...I ..am..scared.
Terus Su Eugene menyampuk.

"Woi..aku tak buli kau kan..kau takut apa? Kau takut apa? Ha!! Cakap?"

Sambil Su Eugene bangun dan menunjuk jari tanda amaran pada Sasikumar. Tapi lepas tu dia bantai gelak kuat-kuat.

Dominic dan Yin Ho yang dia buli masa dia Tingkatan 1 dulu kini jadi rakan buat kerja rumah dia. Aku gemar tengok dia tekun buat kerja.

Awal tahun haritu, kerana dia tak mahu berubah tempat, aku letakkan pelajar perempuan yang pendiam, duduk sebelah dia, dengan harapan dia akan minta aku ubah kan tempat duduk dia. Tapi dia nampaknya selesa disitu. Aku beri amaran, kiranya dia buli Haliza tu, aku akan bawa dia ke bilik displin. Tapi sehari dua kemudian, aku lihat Haliza yang senyap dan pemalu tu, boleh senyum dan ketawa bila duduk sebelah taiko ni. Dan taiko ni nampak malu-malu bila bercakap dengan Haliza, tapi taiko ni sentiasa akan pastikan posisinya agak jauh dengan Haliza.

Satu hari aku berbual dengan taiko ni, waktu aku relief kelas.

Su Eugene: Teacher, saya ada 2 telefon, saya nak beli vivas pula.
aku: kenapa dua telefon, ni mesti ramai makwe ni.
Su Eugene: Takla, satu celcom, satu maxis. Makwe susah mahu cari.
Aku: You, susah cari makwe? Aiya..
Su Eugene: Budak cina perempuan, sombong, kasar..banyak kurang ajar, kalau cakap..haiya..keras dan kuat.
Aku: Hm..habis you mahu cari melayu?
Su Eugene: Tapi susah lorr..budak melayu taknak saya.
Aku: Kamu baik dengan Haliza?
Su Eugene: Ya..dia aa..kalau dia cina, saya mengurat dia, dia baik, pendiam..cakap pun lembut, untung woo..kalau dia cina..saya mesti nak dia.

Haha..

Dan dua hari lepas, masa waktu nak balik, 20 minit terakhir, setiap hari, pelajar muslim akn ke surau, jadi tinggal pelajar non-muslim saja di kelas, aku nampak taiko ni capai penyapu..sambil merungut dalam bahasa cina, rupanya dia nak menyapu..bersihkan tempat dia.

Aku rasa, taiko ni akan jadi taiko yang baik satu hari nanti.

Aku harap dia akan maklum pada ibu bapanya tentang hari perjumpaan waris, supaya aku boleh bertemu dengan ibunya yang selalu memarahi dia kerana risau dengan kenakalan dia, agar dapat aku maklumkan pada sang ibu, anaknya adalah taiko yang baik kini.

Monday, May 23, 2011

Trick

Aku: Eh, harni untuk pelajar melayu takder paper lepas rehat?
Cikgu LLC: Ye la.
Aku: Adeh, lepas ni kelas 1kt4, semua malay maa..takder paper, mereka mesti bising punya..
Cikgu LLC: Ya, saya jaga 1kt3 maa..1kt4 memang bising, ada cikgu pun bising.

Aduh, lepas rehat harini cuma paper exam untuk moral dan bahasa cina, jadi kelas 1kt4 yang semua melayu tiada paper, gila aaah..kalau nak mengajar mesti mereka bagi alsan tak bawa buku, nak buat games nanti gangu kelas lain yang exam. Terbayang aku wajah Ashraf yang tak senang duduk tu, yang boleh melompat dan buat breakdance depan aku dalam kelas. Dia bukan kurang akhlak, cuma nakal dan hyperaktif, bila diminta senyap dia akan minta maaf dan senyap selama 5 minit. Pernah satu hari seluarnya koyak di kelengkang, tak hairan lah melihatkan perangainya yang memang aktif. Kali pertama aku terperasan, aku senyap kan saja, hari kedua, aku bisik, dia senyum saja dia cakap jatuh dipadang. Hari ketiga, aku suruh dia tunjuk seluar tu dekat mak dia, minta mak dia jahit bila balik sekolah. Hari ke empat, dia malu-malu kucing cakap mak dia sibuk tak sempat jahit. Minggu depannya, dia dengan megahnya bagitahu, dia minta mak pada kawan sekelasnya yang kebetulan tukan jahit, jahitkan seluarnya. Aku syak dia cuma ada satu seluar sahaja, tak tergamak nak tanya pekerjaan mak ayahnya.


Lalu aku ke pejabat, minta kertas a4 dekat kerani sekolah, dalam 40 helai. Dan kemudian, bila loceng naik rehat berbunyi, aku pun ke kelas 1kt4.

Usai mereka ucap salam..aku pun memberi ucapan ringkas, sebelum mereka duduk.

Aku: Markah kamu rendah sangat, seorang sahaj yang lulus.

Mereka mula bising-bising bertanya siapa yang lulus. Aku senyap sahaja, sebaliknya beri arahaan seterusnya.

Aku: okay, ni ada kertas, saya nak kamu buat karangan Cita-cita 200 patah perkataan, saya akan tambah 5 markah. Kalau kamu tulis jujur dengan hati yang ikhlas.

Mereka mula bising kembali, kata mereka payah nak tulis 200 patah perkataan.

Aku: Dalam bahasa melayu lah..tulis, apa harapan kamu pada diri kamu sendiri.

Mereka bertepuk tangan.

Aku: Okay, siapa tulis paling ikhlas..apa yang mereka cita-citakan dalam hidup, saya akan tambah 5 markah.

Mereka pun tekun menulis macam jawab soalan exam. 30 minit pertama paling tekun. Kemudian bila tinggal 15 minit, mula mengetuk meja dan bermain pensel, Ashraf, anehnya amat diam dan tekun menulis.

Guru-guru yang lalu di koridor hairan melihat 1kt4 terlalu senyap..

Aku tahu, 5 markah amat berharga pada mereka, apatah lagi dengan hanya perlu menulis dalam bahasa melayu. Kebanyakan mereka amat lemah bahasa inggeris, banyak kertas dikembalikan kosong sewaktu exam, dengarnya.Tapi aku sebenarnya belum pun tanda kertas mereka, adeh..adakah tuhan ampunkan dosa aku. Namun 5 markah tu boleh kucari dari tulisan mereka dikertas karangan..

Saturday, May 21, 2011

Hari guru peringkat negeri

Semua cikgu pakai vogue, aku seorang je pakai sempoi dan simple. Disebabkan pakaian ni lah, aku selalu terasa misfit, menyampah pada majlis rasmi pun ada.

Friday, May 20, 2011

Thursday, May 19, 2011

Bila minggu peperiksaan

Sekolah sunyi..bila pelajar-pelajar tekun jawab peperiksaan. Tapi tunggulah 20 minit akhir, ..kalau kelas yang pandai..akan senyap..semak kertas jawapan, tapi kalau kelas yang hujung tu, alamatnya...bising ganggu kawan-kawan.

Taktik aku kalau ada kelas yang pelajar hyper, aku akan suruh pelajar tu duduk tempat guru, biar aku duduk tempat dia. Barulah terkulat-kulat senyum seorang sebab malu.

Tuesday, May 17, 2011

Hadiah hari guru

Hadiah hari guru bagi aku..adalah tanda ingatan dari murid yang berkemampuan. Tapi teringat aku, masa disabah dulu, kami akan dijamu makan ke setiap kelas, memang kenyang macam hari raya, dan makanannya biasanya adalah mee goreng dan kuih muih yang biasa didapati dipasar, paling best kalau ada air kelapa, perghhhhhhhh.. dan paling best adalah persembahan pelajar.

Tahun ni aku benar-benar terkejut bila dapat hadiah novel Harry Potter, rasa macam tak patut pun ada, aku tahu harga buku tu bukan rm10 atau rm20, kenapalah susah-susah, bersalah pula rasa.

Masa disabah dulu aku pernah dapat lukisan sajak yang indah kata-katanya, kata-kata itu amat menyentuh hati aku.

Bagi aku, ingatan adalah..hadiah yang paling berharga. Apa pun, dimana pun mereka..terima kasih dan maafkan salah silap cikgu.

Sunday, May 15, 2011

bila hari guru

Waktu hari guru aku selalu brdebar2. takut xdpt hadiah dr students,akn rasa trkilan,rasa aku ni teruk ke sampai depa xingat kat aku. kad ucapan buatan tgn pun jadila,suka bc apa pndpt mrk ttg aku. tp bila dpt apa2 hadiah,aku rasa segan pula sgt.bagus sgt ke aku ajar sampai bleh dpt hadiah dr anak murid..

Friday, May 13, 2011

LDP adalah bosan

ldp adalah latihan dalam perkhidmatan,ianya adalah sesi dengar ceramah yang membosankan.

Thursday, May 12, 2011

Beberapa watak siri 1

Aizat, pelajar yang lambat masuk mendaftar disekolah aku. Aliran agama, budak nya kecil saja, maaf..mengingatkan aku pada gecko. Awal sekolah dulu, asyik tertinggal barang. Bila ditanya mana buku, jawabnya belum beli. Masuk bulan kedua, aku minta juga dia beli, satu pun jadilah. Orangnya kurus, tapi matanya bulat dan bundar, kulit sawo.

Dia juga asyik demam, tinggal di asrama, pelajar aliran agama wajib tinggal diasrama. Kerana dia bertubuh kecil dan kurus, kadangkala aku selalu risau kalau-kalau dia dibuli. Tapi dia ceria, amat ceria, jarang diam. Dan tak pernah malu kalau menjawab dengan jawapan yang salah, takut pun tidak. Aku suka perwatakan dia.

Bulan lepas, dia tak datang sekolah seminggu. Tanya kawan-kawan dia..seorang pelajar lelaki hampir separauh berbisik,. memberi jawapan aku.

"Dia kat hospital, kena bedah zakar, sebab bengkak"

Aku angguk saja. Tak silap aku tu penyakit angin pasang, adik aku masa kecik-kecik dulu pernah kena.

Dan bila dia kembali kesekolah, dia tetap Aizat yang aku tahu, ketawa dan kelakar. Walaupun dia selalu duduk seorang saja didepan. Dan masih macam dulu kemudiannya, selalu demam. Aku tanya dia, dia garu kepala, sambil seolah mengeluh.

"Entah cikgu, saya selalu demam, haritu operation ni"

Dengan tanpa segan dia cuba menunjuk bahagian bawah anatominya. Aku senyum saja, budak ni memang kelakar.

Harini, kelasnya kelas akhir sebelum pulang, pen marker aku semua dah kehabisan dakwat, aku mengetuk-ngetuk pen marker, hai...tiada masa nak mengisi dakwat pen, asyik lupa saja. Bersusah payah juga aku menekan pen ke papan putih agar tulisan aku masih terang. Tiba-tiba Aizat datang disisi aku, menghulurkan pen marker.

"Dah kabur dah tulisan cikgu"

Dia berwajah selamba.Hulur pen kepunyaan dia. Hai...sejuk perut mak nya mengandungkan dia.

Wednesday, May 11, 2011

Kenapa kena membenci?

Semalam aku buat ujian lisan, english. Kelas 1pk4 ni kelas akhir dalam aliran PK(Kemahiran Hidup perdagangan) budak tingkatan 1 kelas akhir memang selalunya agak mencabar, dan sekolah aku pula memang overcrowded (yeah 1 lagi sebab tidak mengundi pada tahun ini, awat gomen tak buat lagi sekolah menengah, tapi dok buat benda lain yang tak faedah), kelas semuanya 38 orang, saja taknak cukupkan 40 orang. Padahal optimum adalah 25 orang pelajar 1 kelas. Kesannya, pelajar pening cikgu pun pening.

Buat ujian lisan pada kelas 1pk4 memang mencabar, sebab kalau bagi latihan pun depa bising, dan aku pula kena fokus pada pelajar yang sedang aku temu bual tu.

Jadi selalunya aku akan minta seorang yang paling bising, untuk tengok siapa yang bising, silih berganti diri didepan kelas.

Tapi harini ada seseuatu yang aku kesan. Pelajar cina akan panggil pelajar melayu,walaupun kawan sebangsa mereka bising, begitu juga sebaliknya.

"Nashriq, kenapa kamu tak panggil Hafizul yang sedang menyanyi tu?"

Dia sengeh, sebaliknya dia memanggil Choon Seng. Dan bila giliran Choon Seng pula, dia akan panggil pelajar melayu lain pula.

Lima minit lagi kelas nak berakhir, aku berdiri, berpeluk tubuh dihadapan kelas.

"Kenapa kamu racist?"

Mereka tenganga, yelah pertama kali dengar perkataan tu agaknya. Ye, aku kenalkan istilah tu walaupun aku benci dengan istilah tu.

"Perkauman,kamu perkauman, orang melayu benci orang cina, orang cina benci melayu"

Mereka mula tunduk diam, bila aku keraskan suara. Pedulilah, kalau lepas ni aku kena panggil dengan pihak pentadbir ke, sebab bincang hal ni dengan pelajar aku, ini realiti, kalau ini punca masalah, kau nak sembunyi mana, walaupun mereka masih muda, mereka kena tahu apa yang mereka dah buat.

"Kamu Soon Cheng, kenapa kamu benci pelajar melayu?"
"Mereka suruh kami balik Cina"
"Siapa?"
"Nashriq"
"Nashriq, kenapa kamu cakap macam tu?"
"Mereka kurang ajar cikgu, mereka maki2 cikgu melayu dan kami dalam bahasa mereka"
"Ooo..betul? Pelajar cina, betul kamu maki2 pelajar melayu dan cikgu melayu?"

Aku nampak wajah Yvonne kemerah-merahan seolah berang. Yvonne, sukar nak bertutur dalam bahasa melayu, dia banyak berbual dengan aku seboleh yang dia mampu dan kadangkala selamba cuba bertutur dalam bahsa mandarin dengan aku. AKu tahu dia cuba menafikan.

"Semua pelajar cina suka maki2 orang melayu ke? Kalau betul, semua pelajar cina ni biadap, jadi orang cina memang biadap, betul ke semua orang cina biadap?"
"Tak cikgu!! Kami tak buat, bukan semua kami macam tu"

Akhirnya Soon Kheng dalam susah payah dia bertutur bahasa melayu, boleh juga bersuara. AKu tahu kenyataan tu, aku cuma provok, nak tengok mereka ada rasa bersalah, atau bangga dengan hakikat itu. Bila mereka ada rasa bersalah, marah, bermaksud mereka juga tidak senang hati dengan kenyataan itu, mereka tahu itu bukan sessuatu yang baik.

"Pelajar melayu, betul ke kamu semua ni menyampah sangat dekat orang cina, taknak kawan dengan mereka, benci dengan orang cina, dan nak suruh mereka balik cina?, kalau ya, maksudnya kamu kurang ajar, biadap, tidak tahu hormat orang lain"

"Tak! Tak cikgu, Nashriq je yang macam tu"

Rafaina, gadis kecil, yang pernah kena gastrik dan berbalut tangannya sebab kena air panas akibat memasak didapur untuk adik-adiknya, kecil, dia kecil dan comel, putih, selalu aku usik sebagai kembar Afiqah, yang juga comel,kecil tetapi agak gelap sedikit, kedua-duanya suka senyum. Cuma Rafaina, selalu tidur dalam kelas dan tak bawa buku. Aku dapat rasakan, adik beradiknya ramai dan dia anak perempuan sulung, sindrom biasa.

Macam, Yvonne, Rafaina, juga keras menafikan, muka comel dia, ada juga kelihatan nak menangis dengan tuduhan aku.

"Cikgu, Nashriq dah kena rotan dengan cikgu Kamal sebab selalu cakap macam tu kat budak cina"

"Jadi, sampai bila kamu budak cina nak benci budak melayu dan kamu budak melayu nak benci budak cina? Kamu budak cina, ada pergi kantin kan? Makan, beli makanan kat orang melayu, kamu budak melayu, ada pergi kedai runcit kan? Beli dekat kedai cina?"

Mereka angguk.

"Jadi, kamu nak benci kenapa? Benci sampai gaduh, bila keluar sekolah bergaduh? Dah takder keje lain? "

Mereka diam.

"Kamu sebelum lahir, ada minta nak jadi cina? ada minta nak jadi melayu"

Mereka geleng kepala.

'Habis tu, bila kamu lahir, terus benci melayu, terus benci cina, tuhan yang jadikan kami cina, tuhan yang jadikan kamu melayu, habis kamu benci tuhan ke?"

Mereka diam.

Loceng berbunyi.

"Kalau saya dengar lagi budak cina gaduh dengan budak melayu dalam kelas, dua-dua saya hantar balai polis"

Dan aku keluar kelas.

Benci..aku benci kena berhadapan dengan situasi ni.

Friday, May 6, 2011

Sekolah ganti cuti deepavali

Sekolah ganti sabtu memang hampeh. Penat doh kerja 6 hari seminggu. Aku pula baru balik dari kejohanan Silat, selama 3 hari. Anak murid aku entah agaknya bergembira ketiadaan aku. Berkenduri akikah agaknya.

Sekali kena key in markah rupanya, harini pula due date, jadi malam tadi aku pulun habis, harini masa masuk kelas waktu pengurusan kelas, aku minta pelajar buat kerja sendiri, dan aku pulun key in markah.

Syed nampak muram je, aku tanya, tak sihat ke? dia senyum je pula. Awal sekolah dulu, syed ni selalu mengusik aku, dia manja dengan aku. Tapi sejak dia aktif dalam kegiatan ko-ku ni, nampak dia asyik letih je dalam kelas, dan haritu ujian pun dapat nombor tercorot.

Eugene pula, macam biasa, taiko kelas, berkumpul dengan kawan-kawannya, bila aku suruh senyap.Dia pun menjerit.

"Senyap, teacher suruh senyap..teacher, saya senyap,kan?"

Yela..

Rasionalnya blog ini

Aku seorang guru, tetapi orang selalu kata aku seorang yang gila-gila dan tak sesuai menjadi guru. Tetapi hakikatnya aku amat mencintai profesyen ini. Letihnya hanya tuhan yang tahu, banyak kerja disebalik kerja yang terpapar.

Dan pelajar-pelajarku banyak memberi kehidupan buat aku, telatah mereka, kadangkala 40 orang satu kelas buat aku menjerit dan tak lupa juga ketawa.

Jadi, aku dedikasikan blog ini buat diri aku yang seorang guru. Semuanya cerita tentang kisah aku seharian sebagai guru. Sejujurnya setulusnya.