Thursday, June 23, 2011

Kerana Kacakkah?

Dalam salah sebuah kelas ku ada seorang pelajar perempuan ni chubby orangnya, dan berkulit cerah, dan...perwatakannya kasar dengan kawan-kawannya. Hmmm..mengingatkan aku pada seseorang..haha.

Pelajar ni selalu tak datang sekolah, walaupun pada awalnya aku dapati English dia agak baik, berbanding pelajar-pelajar lain, dia didalam kelas kedua akhir.

Pelajar ni sebenarnya agak aku kenali keluarganya. Pakciknya adalah rakan sekelas aku, ayahnya pernah menjadi model di kaca tv. Teringat aku, rakan-rakan ku heboh satu masa dulu pasal ayahnya dikaca tv. Cikgu-cikgu juga, mungkin bangga..juga agaknya. Pakciknya dan ayahnya dahulu antara pelajar lelaki yang amat digilai rakan-rakan perempuanku dahulu. Kacak..amat kacak, mirip wajah kacukan dan berdagu runcing, memang kalau berlakon dan ada bakat, mudah sangatlah nak naik.

Datuk kepada pelajar ni adalah Pengetua yang dikenali, pernah jadi guru displin disekolahku masa aku Tingkatan 2 dahulu. Disegani dan digeruni pelajar. Tak segan-segan juga menampar anaknya sendiri dikelas kami.

Namun, pelajar ni, aku rasa sedang menghadapi saat getir sebagai pelajar. Bapa dan pakciknya, berniaga sendiri di pasar malam, berlainan lokasi setiap hari, menjual gadget telefon secara online, dan pelajar ni, setiap malam mengikut ayahnya bekerja, kerana dia anak sulung. Pakciknya, yang pastinya sebaya aku, dah agak berjaya dalam perniagaan, tetapi tak dapat banyak membantu ayah kepada pelajarku ni.

Kedua beradik ni, iaitu kawanku dan ayah kepada pelajar ni, tak silap aku tidak menyambung pelajaran selepas sekolah menengah, walhal pelajaran mereka tidak lah teruk.

Aku: Kenapa awak jarang sangat datang sekolah, exam pun tak ambil?
Pelajar: Balik 5 pagi cikgu, lepas tolong ayah, memang tak boleh bangun dan nak kesekolah.
Aku: tak boleh ke tinggal rumah?
Pelajar: Takde orang tolong ayah.Mak jaga adik.
Aku: Pakcik kamu tahu?
Pelajar: Tahu.
Aku: Atuk tahu?
Pelajar: Tak, cikgu..(lantas dia tundukkan wajahnya)

Teringat aku, kisah ayahnya yang ligat bermain cinta, dan jika ayahnya hanya tua dua tahun dari aku, dan kini anaknya adalah pelajar aku, boleh dibayangkan seawal mana dia berkahwin. Dan kini, mangsanya ialah pelajar didepan aku ini.

Tuesday, June 21, 2011

Sukan nak mula

Cikgu memamng sibuk lah kalau bab sukan ni. Masuk kelas pun memang banyak kena guna aura sabar sebab letih dah bersukan waktu pagi, lepastu mengajar waktu petang tu yang kelas petang lah. Student pun masa nilah banyak sakitlah apalah, sebab letih waktu sukan, tapi student letih boleh ponteng sekolah...cikgu? Takyahlah menyusahkan sekolah je kalau cikgu tak datang kerja, kalau cikgu MC..alamatnya berbakullah cikgu-cikgu lain mengomel sebab kena relief.

Minggu depan karnival ko-ku, aku kena jaga perkhemahan, hmmm...dua tahun lepas, aku jadi Kem Komandan, hampir kena bergelut dengan budak perempuan sebab kes handphone. Malas nak cerita.

Paling best waktu sukan ni sebab dapat rileks dengan budak-budak di padang, sambil buat kerja sambil bercerita benda yang bukan pasal pelajaran, hidup bukan dalam kelas je kan. Contohnya, masa nilah dapat tahu pelajar mana minat pelajar mana, dan juga dapat tahu stail pelajar diluar kelas.

Cikgu masa sekolah dulu, terikut jugak trend letak namtag kat lutut, masa tu tak rasa bodoh,rasa cool kononnya, sebab orang lain tak buat, haha.

Friday, June 17, 2011

Prosedur nak pindah sekolah

Ramai ibu bapa mengeluh bila proses nak pindahkan anak dari satu sekolah ke sekolah yang lain. Sebenarnya senang saja, kalau tahu prosedur, walaupun penat, tapi sekurang-kurangnya sekali saja buat dan selesaikan.

Anda akan menyukarkan diri anda dan juga pihak sekolah, andainya anda memindahkan anak anda hanya dengan proses di Jabatan Pelajaran. Anda perlu melalui pihak sekolah dahulu, jika tidak mahu sebarang kesulitan yang lain timbul. Kerana untuk pengetahuan anda, tak semua Pejabat pelajaran rajin nak memaklumkan pada pihak sekolah. Andalah yang bernasib malang, kerana apabila pihak sekolah tidak dimaklumkan, maklumat anak anda akan tergantung statusnya disekolah lama, dan anda mungkin akan menerima surat buang sekolah dari sekolah lama.

Pertama, ambil borang pindah dari sekolah, sila jangan lompat langkah ini. Apabila anda mengambil borang pindah dari sekolah, mengisi maklumat-maklumat anda, satu senarai semak untuk mengambil dokumen-dokumen anak anda disekolah juga akan disertakan. Dan dalam masa yang sama, waktu ini, pihak kerani akan menyediakan surat permohonan pindah yang perlu anda bawa ke Jabatan Pelajaran Daerah.

Kedua, Minta anak anda ambil semua dokumen-dokumen dia dari guru-guru yang berkenaan:

Guru Kelas:Fail profile pelajar, buku rawatan kesihatan, kad kemajuan (bergantung pada sesetengah sekolah)

Guru Sejarah: Folio Sejarah
Guru Geografi: Folio Geografi
Guru K.Hidup: Folio Kemahiran Hidup
Guru Bahasa Inggeris: Ujian PLBS
Guru Bahasa Melayu: Ujiam PLBS
Guru P.Islam: Borang PAFA
Guru Sains: Fail PEKA

Lengkap kesemua ini, bermaksud anda telah memberi kerjasama yang baik pada pihak sekolah.

Ketiga, setelah surat permohonan pindah dari pihak sekolah siap, sila ambil dari kerani, pastikan ambil dalam kadar segera, supaya surat anda tidak hilang. Bawa surat ni ke Jabatan pelajaran, unit sekolah menengah, bagi yang sekolah menengah. Dan..anda akan diarahkan mengisi borang, sekolah mana anda kehendaki.

Keempat, sila hubungi sekolah yang dikehendaki atau datang sendiri kesekolah itu, untuk memastikan sekolah ini mempunyai kekosongan dan anak anda boleh ditempatkan disini. Sekiranya pengetua mengatakan anak anda boleh diterima, maklumkan kembali kepada pihak Jabatan.

Kelima, maklumkan kepada pihak sekolah lama, yang anak anda telah diterima masuk kesekolah yang baru, pihak sekolah akan menyediakan surat makluman perpindahan beserta senarai semak dokumen yang dibawa ke sekolah baru.

Sekian, selamat mengharungi hidup baru disekolah baru...hehe. Tolong awasi anak anda, kerana kes buli pelajar baru adalah perkara biasa di semua sekolah di Malaysia. Dan meadaptasi situasi baru disekolah, bukan lah perkara mudah bagi pelajar, ada pelajar yang kecundang pada tahap ini dan menjadi remaja yang bermasalah hanya kerana kes perpindahan sekolah.

Harap maklum, prosedur ini tepat 100% untuk sekolah menengah, setiap dokumen mungkin berbeza mengikut tahap menengah rendah dan menengah atas. Namun prosedur dari Sekolah ke Jabatan Pelajaran adalah prosedur tetap yang harus dilalui, kecualilah kalau anda adalah Ketua Jabatan Pelajaran Negeri.

Wednesday, June 1, 2011

Kisah #adindaevans

Malam ni, twitter time line aku diterjah oleh twitter #tokrimau, tentang #adindaevans, yang mula-mulanya aku memang tak faham. Ya, sambil menanda kertas, sambil aku bersiaran lansung dengan twitter, agak-agak tahun bila habis kertas-kertas ni, kena teliti, nanti bagi markah tak kena pula kan. Dan kalau fokus sangat menanda malam-malam ni, jawabnya katil memanggil.

Rupanya setelah diselidiki, rupanya ia kisah tentang seorang blogger yang memanggil dirinya Daten Milano. Twitter tentang beliau menjadi hangat dalam tempoh 24 jam, dan menjadi tempat ke tiga paling hits Twitter trending dunia.

Bila baca-baca rasa nak ketawa pun ada, tapi sedih pun ada. Ya, aku tahu cikgu ni pun bukannya baik sangat, tapi terasa pula dekat hati, terbayang kalau Datin Milano ni salah satu pelajar aku.  Kesilapan dia adalah membuat blog dan memperkatakan tentang hidup dia tanpa penapis. Bagi aku, sedih la, sebab budak ni tak tahu lagi betapa hebatnya kesan internet pada masyarakat. Dia dah menggelapkan masa depan dia sendiri. Tanpa dia sedar.

Disini, aku tertanya-tanya, manalah penjaga kepada budak ni, tak sedar ke kewujudan budak ni dalam internet dah jadi amat hangat, dan betapa terlepas pandangnya mereka terhadap anak gadis yang seorang ni.

Kalau adindaevans ni berumur 21 tahun ke atau 31 ke, memang aku tak begitu kesal, sebab dia sepatutnya dah boleh berfikir akan kesan segala apa yang dia lakukan, ya walau semua orang buat kesilapan, tetapi...beb kesianlah kat remaja ni dia hanya berumur 14 tahun. Macamana dia nak hadapi masyarakat, bila dia dah terasa bahananya blog yang dia tulis sekadar suka-suka.

Aku harap ada cikgu-cikgu pelajar ni yang cepat kesan blog ni dan bagi kaunseling agar pelajar ni tutup blog dia. Bila dah penjaga mungkin tak peduli, yang tinggal cikgu-cikgu disekolah sajalah yang boleh diharapkan.

Aku tahu ramai yang kata, alah ramai budak macam ni sekarang, jadi, adakah anda boleh tutup mata dengan yang seorang ni? Selagi blog ni tidak ditutup, budak ni takkan boleh angkat muka kat sekolah, bila sampai masa dia sedar kesilapan ni.

Semua mengutuk remaja ni, bagaimana kalau pelajar ni adalah seseorang yang kita kenal? Nak sesama bergossip juga? Budak ni masih tak tahu apa-apa, dia tak sedar dia dah buat silap, budak umur ni masih dok terpacak tengok Naruto lagi, kena terang apa yang silap pada tuan empunya diri.

Kalaulah aku tahu dimana budak ni bersekolah, nak saja aku telefon sekolah dan suruh cikgu bimbingan kaunseling cari budak ni. Ya, mungkin ada cikgu kaunseling disekolah yang perangai pun hampeh tak tahu dan dekati pelajar, tapi sekurang-kurang sesuatu perlu dilakukan.

nota: pada 18hb 6, aku sedari blog adindaevans telahpun dipadam.Its a good thing to do,dik

Tuesday, May 31, 2011

cuti

Anak murid je cuti. Cikgu kena buat kelas tambahan dan juga tanda kertas.
Published with Blogger-droid v1.6.9

Thursday, May 26, 2011

Beberapa watak siri 2

Su Eugene, dia ni taiko kelas sejak Tingkatan 1. Pelajar-pelajar memang takut dengan dia. Dia pernah bersekongkol dengan Shaifuldin dalam satu komplot membuli Christopher ketua tingkatan kelas 1kt1 (kelas yang aku menjadi guru kelas tahun lepas, dan kini aku menjadi guru kelas 2kt1). Kerana komplot mereka, semua pelajar lelaki kelas ni kena rotan dengan cikgu mustafa kamal.

Dan dia juga memang akan berkeras tak mahu pindah tempat duduk sekiranya aku arahkan, terutamanya tahun lepas, sehingga aku terpaksa atur dan ubah kedudukan pelajar lain yang dia takkan buli, jauh dari dia. Masa tingkata 1 dulu memang paling payah. Ibu bapa mengadu pada aku anak mereka dibuli, dipukul dan juga diambil barang oleh geng Su Eugene ni. Aku kena susun betul-betul pelajar yang tak boleh dibuli sahaja yang duduk berhampiran dengan taiko yang seorang ni.

Tapi, taiko ni selalu takut dengan perjumpaan ibu bapa, selalu dia risau. Dia kata kalau exam dia teruk, mak dia tak bagi main bola keranjang. Dia minat betul dengan bola keranjang. Lalu aku buat perjanjian dengan dia, kalau dia dapat wakil negeri, aku akan belanja dia KFC. Kerana risau exam dan minat dengan bola keranjang, dia pulun dalam study. Cincai-cincai pun, dia akan buat kerja rumah, dia akan hantar semua kerja, walaupun dia yang akhir, walaupun dengan tulisan hampir susah nak dibaca.

Tingkatan 2, dia dapat masuk 2kt1, walaupun ramai cikgu jangka dia akan ke kelas corot. Tingkatan 2 dia lebih matang, kawan-kawan dia, Shaifuldin dan Wafi sekarang lebih menonjol dalam akademik, semua mereka ni budak nakal yang selalu membuatkan darah tinggi cikgu-cikgu yang mengajar..mencapai level tinggi.

Budak-budak yang dia buli dulu, jadi kawan dia, walaupun aku pernah nampak dia seligi kepala Sasikumar yang fokus ke tempat lain sewaktu sedang ajar dia math. Sasikumar pelajar baru, pernah dalam kelas aku tanya depan-depan pelajar lain, apa perasaan dia masuk ke kelas ni.

Sasikumar: Hm...I ..am..scared.
Terus Su Eugene menyampuk.

"Woi..aku tak buli kau kan..kau takut apa? Kau takut apa? Ha!! Cakap?"

Sambil Su Eugene bangun dan menunjuk jari tanda amaran pada Sasikumar. Tapi lepas tu dia bantai gelak kuat-kuat.

Dominic dan Yin Ho yang dia buli masa dia Tingkatan 1 dulu kini jadi rakan buat kerja rumah dia. Aku gemar tengok dia tekun buat kerja.

Awal tahun haritu, kerana dia tak mahu berubah tempat, aku letakkan pelajar perempuan yang pendiam, duduk sebelah dia, dengan harapan dia akan minta aku ubah kan tempat duduk dia. Tapi dia nampaknya selesa disitu. Aku beri amaran, kiranya dia buli Haliza tu, aku akan bawa dia ke bilik displin. Tapi sehari dua kemudian, aku lihat Haliza yang senyap dan pemalu tu, boleh senyum dan ketawa bila duduk sebelah taiko ni. Dan taiko ni nampak malu-malu bila bercakap dengan Haliza, tapi taiko ni sentiasa akan pastikan posisinya agak jauh dengan Haliza.

Satu hari aku berbual dengan taiko ni, waktu aku relief kelas.

Su Eugene: Teacher, saya ada 2 telefon, saya nak beli vivas pula.
aku: kenapa dua telefon, ni mesti ramai makwe ni.
Su Eugene: Takla, satu celcom, satu maxis. Makwe susah mahu cari.
Aku: You, susah cari makwe? Aiya..
Su Eugene: Budak cina perempuan, sombong, kasar..banyak kurang ajar, kalau cakap..haiya..keras dan kuat.
Aku: Hm..habis you mahu cari melayu?
Su Eugene: Tapi susah lorr..budak melayu taknak saya.
Aku: Kamu baik dengan Haliza?
Su Eugene: Ya..dia aa..kalau dia cina, saya mengurat dia, dia baik, pendiam..cakap pun lembut, untung woo..kalau dia cina..saya mesti nak dia.

Haha..

Dan dua hari lepas, masa waktu nak balik, 20 minit terakhir, setiap hari, pelajar muslim akn ke surau, jadi tinggal pelajar non-muslim saja di kelas, aku nampak taiko ni capai penyapu..sambil merungut dalam bahasa cina, rupanya dia nak menyapu..bersihkan tempat dia.

Aku rasa, taiko ni akan jadi taiko yang baik satu hari nanti.

Aku harap dia akan maklum pada ibu bapanya tentang hari perjumpaan waris, supaya aku boleh bertemu dengan ibunya yang selalu memarahi dia kerana risau dengan kenakalan dia, agar dapat aku maklumkan pada sang ibu, anaknya adalah taiko yang baik kini.

Monday, May 23, 2011

Trick

Aku: Eh, harni untuk pelajar melayu takder paper lepas rehat?
Cikgu LLC: Ye la.
Aku: Adeh, lepas ni kelas 1kt4, semua malay maa..takder paper, mereka mesti bising punya..
Cikgu LLC: Ya, saya jaga 1kt3 maa..1kt4 memang bising, ada cikgu pun bising.

Aduh, lepas rehat harini cuma paper exam untuk moral dan bahasa cina, jadi kelas 1kt4 yang semua melayu tiada paper, gila aaah..kalau nak mengajar mesti mereka bagi alsan tak bawa buku, nak buat games nanti gangu kelas lain yang exam. Terbayang aku wajah Ashraf yang tak senang duduk tu, yang boleh melompat dan buat breakdance depan aku dalam kelas. Dia bukan kurang akhlak, cuma nakal dan hyperaktif, bila diminta senyap dia akan minta maaf dan senyap selama 5 minit. Pernah satu hari seluarnya koyak di kelengkang, tak hairan lah melihatkan perangainya yang memang aktif. Kali pertama aku terperasan, aku senyap kan saja, hari kedua, aku bisik, dia senyum saja dia cakap jatuh dipadang. Hari ketiga, aku suruh dia tunjuk seluar tu dekat mak dia, minta mak dia jahit bila balik sekolah. Hari ke empat, dia malu-malu kucing cakap mak dia sibuk tak sempat jahit. Minggu depannya, dia dengan megahnya bagitahu, dia minta mak pada kawan sekelasnya yang kebetulan tukan jahit, jahitkan seluarnya. Aku syak dia cuma ada satu seluar sahaja, tak tergamak nak tanya pekerjaan mak ayahnya.


Lalu aku ke pejabat, minta kertas a4 dekat kerani sekolah, dalam 40 helai. Dan kemudian, bila loceng naik rehat berbunyi, aku pun ke kelas 1kt4.

Usai mereka ucap salam..aku pun memberi ucapan ringkas, sebelum mereka duduk.

Aku: Markah kamu rendah sangat, seorang sahaj yang lulus.

Mereka mula bising-bising bertanya siapa yang lulus. Aku senyap sahaja, sebaliknya beri arahaan seterusnya.

Aku: okay, ni ada kertas, saya nak kamu buat karangan Cita-cita 200 patah perkataan, saya akan tambah 5 markah. Kalau kamu tulis jujur dengan hati yang ikhlas.

Mereka mula bising kembali, kata mereka payah nak tulis 200 patah perkataan.

Aku: Dalam bahasa melayu lah..tulis, apa harapan kamu pada diri kamu sendiri.

Mereka bertepuk tangan.

Aku: Okay, siapa tulis paling ikhlas..apa yang mereka cita-citakan dalam hidup, saya akan tambah 5 markah.

Mereka pun tekun menulis macam jawab soalan exam. 30 minit pertama paling tekun. Kemudian bila tinggal 15 minit, mula mengetuk meja dan bermain pensel, Ashraf, anehnya amat diam dan tekun menulis.

Guru-guru yang lalu di koridor hairan melihat 1kt4 terlalu senyap..

Aku tahu, 5 markah amat berharga pada mereka, apatah lagi dengan hanya perlu menulis dalam bahasa melayu. Kebanyakan mereka amat lemah bahasa inggeris, banyak kertas dikembalikan kosong sewaktu exam, dengarnya.Tapi aku sebenarnya belum pun tanda kertas mereka, adeh..adakah tuhan ampunkan dosa aku. Namun 5 markah tu boleh kucari dari tulisan mereka dikertas karangan..