Thursday, March 7, 2019

Botol air


Lagi 2 minit jam menunjukkan waktu untuk punch card, aku sedang cubah sudahkan menanda beberapa buku latihan. 

Tiba-tiba dua orang pelajar cina perempuan datang menghampiri aku, seorangnya sedang teresak menangis. Hairan aku. 

A: Cikgu, u ada kunci makmal? 

Aku: makmal komputer ada. 

A:kawan saya tertinggal botol air, kalau dia tak bawa balik nanti dia kena pukul. 

Oh, baru aku faham situasi. Makmal komputer pula berada dihujung sekolah. Melihatkan pelajar yang sedang teresak itu menitiskan air mata, aku tak teragak mencapai kunci. 

Aku: saya kena pergi bersama kamu ke makmal, kamu tak boleh pergi berdua. 

A: baik cikgu, kami ikut cikgu. 

Perjalanan ke makmal komputer merentasi padang bola dan balapan. Terserempak dengan seorang cikgu lelaki ditengah padang sedang menarik getah paip dari pili tepi padang, dan menyiram rumput yang kering. Dedikasi sungguh cikgu ni, sanggup jadi tukang kebun dan tak kekok. 

L: kenapa cikgu? 

Jerit cikgu lelaki itu dari tengah padang. Aku menunjukkan kunci di tangan dan menunjuk ke arah makmal komputer. Dia melihat kearah dua pelajar yang menurut belakang aku. 

L: barang tinggal ke? 

Aku angguk. 

L: tak payah layan cikgu, susahkan cikgu je, woii amoii. 

Aku ketawa. Dua orang pelajar tu tak mengendahkan. 

Sampai ke tingkat dua makmal, dengan termengah. Pelajar yang menangis tadi menjerit kegembiraan, kedua-dua mereka, bila nampak botol air ditepi pintu grill. 

Syukur aku tak perlu buka grill dan mangga pintu. 

Berulang kali kedua-dua pelajar itu mengucapkan terima kasih. 

Aku sekadar senyum. 

Sambil memerhati mereka melangkah pergi, usai aku mengunci grill tangga. 

Begitulah selalunya yang aku dengar. Pelajar cina, ibu bapa mereka garang belaka. Ada hingga jadi kes polis 

Sunday, March 3, 2019

Wajah-wajah pelajar aku

Kalau aku ke kelas-kelas yang lemah aku akan perasan betapa Wajah-wajah anak murid aku keruh setiap kali masuk kelas.

Seolah membawa masalah dari rumah. Bila kutanya, kata mereka lapar. Takkanlah tak makan sebelum ke sekolah. Sekolah petang masuk jam 12.30.

Dan ya, remaja lelaki metabolisme tinggi, memang kerap lapar. 

Kadangkala aku tertanya, bagaimana mereka dirumah. Adakah mereka datang kesekolah menyeret beban dari rumah? 


Thursday, February 21, 2019

2019 here I come

Lama aku tak menulis.

Tahun ini, aku mengajar banyak kelas-kelas belakang. Memang awalnya agak berperang juga. Sebab kami baru mahu saling berkenal.

Buku teks English Pulse bulan Februari ni, aku suruh mereka simpan dulu. Mana taknya, eja "Good" pun tak tahu.

Aku mula balik asas grammar. Pening juga sebab sentence structure sangat lemah. Tingkatan 2, tapi memang tahap darjah 5.

Harini agak panas, dan aku fokus pada pembetulan pengajaran semalam.

Sambil tu ada pelajar cina, sibuk perhatikan jam Casio yang aku beli awal januari.

"Teacher, boleh saya tengok jam?"

Kemudian dia senyum, bila aku menanggalkan jam tu, dan beri pada dia, dia membelek sambil tersenyum.

"Cikgu beli berapa?"
"Dalam 25"
"Ha? Tak mungkin ini harga 25,ini ori cikgu"
"rm250 macam tu" jujurnya aku pun dah lupa.

Dia angguk.
Kemudian memulangkan jam kembali.

Rupanya pelajar ni dah biasa bekerja di kedai, mungkin pernah dikedai jam. Hari itu sambil aku fokus pada pembetulan yang pelajar kena buat, aku sempat berbual dengan beberapa orang pelajar.
Kebanyakan mereka pernah bekerja separuh masa. Kerja basuh pinggan, sehari rm50, kadangkala di kedai kek, kalau cuti umum, sehari boleh dapat rm200. Tu kebanyakannya pelajar cina. Pelajar melayu pula macam agak terngaga, sebab kebanyakannya, bila kelapangan cuma bermain basikal lajak.

Tapi kelas-kelas hujung ni kadangkala akan terdengar lawak berbaur lucah.

Ada seorang pelajar cina, bila aku panggil ke sisi untuk melihat buku latihannya dia sesekali menjerit "Enjoy your hentai", aku merenung tajam.

"Cikgu, cikgu tahu apa itu Hentai?" Tanya dia sambil gelak.

Aku mengjenggilkan anak mata.

"I am your English Teacher, how come I didnt know" .Dia menutup mulut dengan reaksi bersalah.

Dalam hat

Tuesday, January 5, 2016

Saya bukan "Teacher" lagi

Alhamdulillah kemelut selama 12 tahun, saya mengajar english, akhirnya selesai. Saya yakin saya dah bagi yang terbaik selama 12 tahun tu.

Saya kini mengajar subjek lain yang lebih serasi dengan minat saya, walaupun saya tidak mengajar ICTL.

Peristiwa semalam, saya mengangkat barang-barang pjk, jatuh gedebuk sebab salah step anak tangga, nasih hanya dua anak tangga didepan bilik guru, tidak melunturkan semangat saya.

haha

Wednesday, April 1, 2015

Johan kebangsaan vs Johan pentas

Sejak akhir-akhir ni pelajar sekolah aku tidak lagi minat sukan, terumata pelajar menengah atas. Semalam, dengar keluhan-keluhan guru rumah sukan, aku mula memikirkan punca. Sudahla kes displin semakin tinggi, itu dah jadi biasa.

Sebenarnya aku lihat, ibu bapa tak banyak menyokong pelajar-pelajar untuk terlibat dalam sukan atau kokurikulum yang bukan didalam kelas. Ibu bapa lebih mengharap anak-anak mendapat straight A daripada menjadi juara sukan dan sebagainya.

Tak semua pelajar gemar kepada sistem akademik kita, dan pelajar-pelajar ini mempunyai minat di bidang sukan kebanyakannya.  Tapi akibat tiada latihan, tiada sokongan, minat menjadi mati dan mereka mula bosan untuk kesekolah. Sukan adalah bidang yang sangat hebat untuk meningkatkan yakin diri pelajar atau remaja khususnya.

Tanyalah setiap diri, saat manis menjulang piala kemenangan setelah berpenat lelah berlatih akan menjadi saat paling indah dalam hidup pelajar-pelajar ini, yang akan mereka kenang hingga ke waktu tua dan menjadi sesuatu yang mereka kongsi dengan anak-anak mereka pula.

Berikan peluang kepada pelajar-pelajar yang memang berbakat dalam bidang yang bukan akademik. Untuk tidak sekadar menjadi mangsa buli atau pelajar yang membuli disekolah. Mereka perlukan sesuatu untuk menjadi pegangan.

Tidak semua kita sesuai dengan sistem akademik sekarang, lalu janganlah dihancurkan masa depan mereka. Pelajar yang tidak sesuai dengan sistem, selalunya akan menjadi pelajar bermasalah dan paling ditakuti akhirnya terlibat dengan gejala tidak sihat seperti dadah dan kesalahan juvana.

Ada kes anak dan sampai peringkat johan, tapi mak ayah tak pernah muncul walau sesaat pun disetiap gelanggang, dan akhir tahun, ayah cuma membaling buku rekod kemuka.

Ada pula pengetua yang tidak membenarkan pelajar yang dah sampai ke peringkat johan negeri, untuk mewakili negeri ke peringkat kebangsaan kerana pelajar ini terlibat dengan peperiksaan besar. Tolonglah, pelajar yang biasanya mendapat johan peringkat negeri, bakatnya digilap sejak tingkatan satu lagi, dan hinggalah akhirnya setelah tahun demi tahun mengalami kekalahan, dia menjadi johan pada saat tingkatan lima. Dan arahan pengetua tidak membenarkan pelajar SPM keluar bertanding mana-mana pertandingan merampas segalanya dari anak ini

. Hey, kau ada nampak tak setiap air mata dan tangisan budak ni saat dia kalah, dan kemudian titisan air mata dia sewaktu dia akhirnya rangkul piala yang dia idamkan. Dahla mak ayah tak tahu lansung hal dia disekolah, guru yang melatih lah yang puas memujuk, silap-silap menangis bersama.

Dan dia akan kehilangan saat yang dia impikan sejak dia pertama kali dikenalkan dengan sukan yang dia minati. Apa yang ada cuma pandangan kosong di papan putih didalam kelas.


Kredit gambar dari Sekolah Kebangsaan Pandasan blog

Saya dah kahwin :)

Sempena semangat blogging baru ni, saya nak buat pengumuman. Saya dah kahwin. Alhamdulillah. Takdir Allah yang terbaik. Kita insan hanya hamba.


oh EGTUKAR!

Haha, tajuk giler kentang.
Alhamdulillah dah tahun 2015 kan. Dan aku rasa aku nak menulis balik, ikut gila-gila aku.

Baru tahun ni aku bertekad nak pindah. Aku nak ajar komputer pleaeeeessee. Jadi haritu tepat jam 12 malam 1 april, aku pun menggodek egtukar yang aku tak pernah jenguk sebelum ni. Oh, belek-belek sikit, yaaa, dah faham, tapi dah mengantuk tahap cipan. Jadi aku pun tutup.

Esoknya sengeh-sengeh dengan kawan sebelah meja, aku pun mulalah rancang sekolah mana nak pindah. sebenarnya lama dah rancang, tapi, yelah bila nak laksanakan tu berdebar jugak. Jadi aku pun borak-borak dengan cikgu M, yang baru tukar dari negeri mana tah, cikgu ni sweet je muka dia.

"Kalau awaklah, berada kat sekolah yang takde option awak, awak akan pindah tak?"
" eh mesti pindah, tak aman hidup kena ajar subjek lain, deep in my heart saya mesti terseksa batin"
"yessss, walaupun jauh?"
"ya, walaupun jauh"

See, aku dah da penyokong tegar. hahaahahaha.

Jadi tadi aku pun, isi, sambil buka data eoperasi pula, sebab nak tengok segala tarikh-tarikh perkhidmatan bagai.

Sekali 20 kali masu..dah ke in data, tekan je butang mohon..error...error...

cess..sahih ramai yang mengisi online waktu ni. Takpe, rest dulu ya, malam karang aku datang. Moga dapat tukar. Dan kolej Vokasional yang aku nak minta tu dengarnya ada tawarkan diploma lanjutan, itu bermakna, taraf aku akan jadi macam pensyarah kolej komuniti. yes.

I want to be computer teacher!!!

Saturday, November 10, 2012

Penutup dua ribu dua belas.

Penutup tahun ini, ada seorang pelajarku yang dah 3 bulan tak datang, akhirnya datang juga dua hari kesekolah, setelah aku dan kaunselor membuat lawatan.

Dia kena jaga adik.
Dia tiada kenderaan kesekolah.
Ibunya tidak dapat dihubungi pihak sekolah.

Tak mengapalah asalkan akhirnya dia datang juga kesekolah.

Dan aku, ada terjatuh hati. Ahaks. Tu rahsia. Tapi pemanis segala. Alah cuma penyeri melihatnya disekolah.

Paling kelakar, sebenarnya aku masih nak menjalankan PBS, tapi ada kelas yang pelajarnya dah tak larat..mereka merayu supaya aku tak memberi ujian. Apa kan daya, mereka nak menikmati akhir tahun. Sistem PBS merampasnya.

Terima berita aku akan mengajar PJK tahun hadapan, ya beda bedu. Subjek baru, supaya aku tidak jemu dengan satu-nya subjek yang ku ajar.

Jadi December ini, aku akan mencari seluar track sebanyak mungkin dan juga sepasang kasut sukan baru.

Kasut sukan bunga-bunga ni macam cun jugak.


Monday, October 8, 2012

Nerd dan introvert

Seminggu ni, Liu, salah seorang muridku kerap datang bertemu denganku pada waktu rehat. Dan aku memang menggalakkan dia datang berjumpa aku.

Dia ni anak tunggal, dan mempunyai masalah sosial dan juga baran yang agak merisaukan. Tidak gemar bercampur dengan orang lain, gemar bercakap seorang diri,ketawa dan menyanyi seorang diri, dan amat pemarah.

Dan aku juga sedar dia sedang mengalami fasa puberty.

Apa yang kami berbual?

Suaranya agak kuat, walau kadangkala bercerita dengan aku disebelah.

Bercerita tentang figura atau model Gundam. Aku mula belajar jenis-jenis model gundam. Melayan dia. Juga bercerita tentang dia tertangkap melayari laman web yang tidak sepatutnya dirumah. Dia bercerita tentang sepupu-sepupu perempuannya yang dia gemar perhatikan.

Dia suka bercerita, masa sependek 20 minit, tak pernah cukup bagi dia.

Kadangkala dia bercerita perkara-perkara nakal yang dia lakukan kerana dia terlalu bosan keseorangan waktu menanti waktu sekolah bermula ataupun waktu rehat, sewaktu aku tiada dimeja.

Aku sedar dia perlukan rakan. Tetapi perangai peliknya membuatkan tiada yang mahu menghampiri.

Pencapaian akademiknya cemerlang.

Aku harap fasa ini akan dia atasi, sebab aku tiada ilmu khusus dalam kaunseling untuk memulihkan masalah sosialnya. Dah dirujuk ke kaunselor sekolah, tapi dalam setahun ini, cuma dapat satu sesi perjumpaan sahaja.

Tuesday, July 17, 2012

Dealing with the kids

Kenapa pula tajuk dalam omputih ni, haha. Saya sebenarnya mengajar english, tapi saya harap satu hari nanti di akhir kerjaya saya, saya bukan mengajar english.

Okay, tahu tak, ada satu kelas ni, 1kt5, yang pelajarnya memberi saya cabaran yang hebat. Dua orang tak tahu membaca, dan salah seorangnya amat lah memberi cabaran dikelas, kaki buli dan suka bercakap kasar, bahasa yang memang amat tidak suka didengar.

Satu ketika aku mengajar Chants, pelajar ni mengejek-ejek ritma chants yang sebenarnya menghiburkan. Tiba-tiba aku hampir ketawa, saat tiada siapa tahu apa yang kelakar. Ini kerana..

Aku terbayang, pelajar tu terencat akal.

Maaf.

Friday, July 6, 2012

Cikgu Kena tipu!!



Dalam kelas aku ada sepasang kembar. Aku ni dahlah kadangkala agak blur sebab dah ramai sangat pelajar. Kembar ni pun aku sedar dua orang yang berlainan bila dah seminggu mengajar dikelas pada awal tahun yang lepas.

Nak dijadikan cerita, mereka berdua ni amatlah identical. Cuma seorang pendiam dan seorang lagi kaki bising.

Minggu lepas, aku da tukarkan tempat duduk mereka sebab yang pendiam tu asyik termenung je ditepi tingkap belakang. Jadi aku letak yang pembising (Zhong Yue) tu dibelakang dan pendiam(Bo Tao) tu didepan.

Semalam aku masuk kelas, yang didepan aku ni bising ya rabbi. Berkali aku tanya, dia ni Bo Tao ke Zhong Yu, semua kata, yang bising ni Bo Tao. Dan aku lihat yang selalu bising tu, senyap je duduk dibelakang.

Bila aku tanya budak-budak lain, semua kata yang bising haritu adalah Bo Tao.

"Aiii... tempat belakang tu badi ke, siapa duduk terus jadi pendiam.."

Pelajarku ramai cina, jadi mereka tak faham perkataan 'Badi'.

Berkali aku tanya, sampai aku sendiri naik gelak, sebab aku memang tak dapat buktikan. Kawan-kawan disebelah mereka tetap mengatakan yang bising itu Bo Tao. Sampai aku minta Kad pengenalan, tapi mereka baru tingkatan satu, manalah bawa kesekolah, dan aku yakin dengan keadaan mereka Kad Pengenalan pun tak dapat buktikan apa-apa.

Tamat waktu aku, dan setelah aku berputus asa, aku pun dah tak kisah. Kemudian waktu rehat, aku nampak pelajar yang dikatakan Bo Tao menaiki tangga, bila aku panggil nama dari belakang dia tak menyahut.

Confirmla aku dah kena tipu ni.

Thursday, June 28, 2012

Cina versus melayu


Cabaran aku pada tahun ini, aku mengajar kelas tingkatan satu yang paling akhir. Hanya lima orang sahaj yang lancar membaca, 17 lagi ada yang hampir tidak mengenal huruf. Membimbing mereka untuk membaca memang amat letih. Terutama sekali sebab, mereka sudah pun remaja, telah terbina ego dan sifat malu yang menebal.

Namun, walau tidak semahir mana pun pelajar cina, mereka masih mudah dibimbing, kerana mereka mahu belajar, amat ingin belajar, mereka malu apabila tidak tahu. Dan mereka sedar latih tubi yang dibuat adalah untuk kebaikan mereka, suruhlah mereka ulang berpuluh kali pun ejaan andai mereka masih tidak dapat, mereka sanggup. Mereka tidak kenal erti penat.

Tetapi, dengan pelajar melayu, kadang kala aku hampir ke hujung sabar dan kegarisan putus asa. Ego dah satu, yang paling sukar nak dipecahkan ialah, mereka tidak mahu belajar. Mereka tahu mereka tak tahu, mereka tak kisah. Umpama berlawan dengan tembok berlin. Diminta eja, mereka kata penat dan lambat, walhal itu cara yang menyebabkan mereka kenal huruf dan ejaan tersebut.

Kadangkala aku jadi faham, kenapa kaum tiong hua ini membantah keras sekolah vernakular mereka dibasmi, kerana sebenarnya didalam dasar pendidikan sewaktu hendak mencapai kemerdekaan, sekolah-sekolah vernakular akan dihapuskan satu hari nanti. Tetapi kerana politik, isu ini tidak berani diusik oleh sesiapa.

Benar wujudnya sekolah vernakular menyebabkan sentimen perkauman amat menebal. Disekolah menengah perkauman terlalu jelas, namun kalau aku dilahirkan sebagai bangsa cina, aku akan menggadaikan semua yang aku ada untuk pertahankan sekolah jenis kebangsaan ini. Ini adalah kerana budaya.

Jelas terlihat, pelajar melayu kemahiran menulis amat lemah berbanding pelajar cina.Andai kemahiran menulis pun sudah boleh menjadi ukuran, lalu apa lagi yang boleh menjadi pengukur kemajuan belajar?

Tuesday, May 1, 2012

Jangan rampas padang kami

Dua minggu lepas karniva sukan telah berlansung. Salah satu kegembiraan seorang guru, apabila mengiringi pelajar dalam program sukan. Mungkin aku antara guru yang sedemikian.

Galah panjang kini didalam sukatan pelajaran PJK

Masa karnival sukan, tahun ni dua acara baru diperkenalkan, iaitu galah panjang dan batu seremban. Aku rasa amat gembira bila melihat galah panjang menjadi salah satu acara, teringat permainan ni masa kanak-kanak dulu rasa gembira sangat.

Tapi pelajar sekarang, galah panjang dan batu seremban, kena diajar dan ada sukatannya dalam PJK. kelakar kan. tapi itulah kenyataannya. Dan melihat mereka bermain sungguh-sungguh memang amat menyeronokkan, melihat mereka gembira pun dah satu kepuasan.

Namun, ada juga beberapa pelajar nerd yang sekadar duduk dipadang, mereka ni berkaca mata dan menyendiri.  Bagi aku evolusi komputer menghasilkan pelajar begini, dan mereka ni mangsa keadaan. Pelajar-pelajar nerd ni akan bermasalah dalam sosial dan juga akan lemah dari segi beberapa motor skil. Mereka cuma menggunakan jari hanya untuk menaip komputer, selalunya mereka akan bermasalah diperingkat awal dengan penggunaan komputer, jari mereka mudah lemah, akibatnya mereka malas menulis dan tidak gemar membuat nota. Harus diingat, menulis nota dan latihan masih lagi menjadi kaedah pembelajaran, lantas menyebabkan mereka mudah bosan, maaf penggunaan laptop setiap pelajar dikelas belum menjadi kenyataan di Malaysia, mahu atau tidak mereka harus mengikut arus kini, lalu mereka inilah yang selalu menjadi pelajar bermasalah disekolah.

Ibu-bapa harus galakkan pelajar bermain, umur kanak-kanak mereka harus bermain, remaja pula mereka akan belajar membentuk perwatakan.

Beri kanak-kanak ini padang dan mereka akan gembira, malah belajar berkomunikasi, belajar erti kepimpinan. Tapi beri mereka pc, mereka akan belajar menjadi menyendiri.

Sunday, April 29, 2012

Tuhan, selamatkan dia..

Dua hari lepas sewaktu sibuk dengan karnival sukan, aku menerima berita seorang bekas pelajarku terlibat dengan penangkapan sekumpulan remaja yang terlibat dengan pesta pil khayal. Tersentak aku, terbayang wajah comelnya yang suka membuat aku ketawa.

Dia bukan pelajar nakal. Dia cuma gemar mencuba, paling ghairah menjawab soalan waktu didalam kelasku.

Tersayat hati aku apabila mendengar nama dia, pelajar kurus tetapi sering ceria dan wajahnya yang polos, yaAllah, bagaimanalah dia di lokap selepas kejadian itu. Tak tergamak aku memikirkan andai dia dikasari.

Tuhan, selamatkan dia...

Thursday, April 26, 2012

kejohanan silat olahraga sekolah-sekolah negeri melaka 2012 tangguh.

kali pertama,kejohanan ini yang sepatutnya dijalankan dari 23-26hb april ditangguhkan dan kemudiannya dibatalkan lalu dibawa ke bulan september.

ini terjadi kerana arahan dari jabatan pelajaran negeri melaka mengarahkan semua program sukan dijalankan hanya selepas jam 2 petang,sedangkan jadual perlawanan telah dikeluarkan untuk 4 hari adalah dari jam 8pagi hingga 6petang.


buat pertama kalinya,melaka tidak menghantar penyertaan ke peringkat kebangsaan untuk kejohanan silat olahraga sekolah-sekolah.

gelanggang menjadi riuh sebaik sahaja keputusan penangguhan dikeluarkan.


Published with Blogger-droid v2.0.3

Saturday, April 21, 2012

Futsal Jebat Derhaka!

Aku cuma dapat terlibat selama 3 hari saja di Karnival Sukan sekolah. Rumah sukan ku Hang Jebat. Kami amat kekurangan masa untuk berlatih. Jadi kebanyakan permainan, banyak bergantung kepada bakat dan kemahiran sedia ada pelajar. Kami tidak dapat bimbing apa-apa. Dan seperti biasa, rumah Jebat amatlah dahagakan pingat, kami selalu yang kedua akhir atau terakhir, tu belum lagi Hari Sukan, entah bila tahun kami pernah jadi Juara.

Permainan akhir harini adalah Futsal perempuan. Aku tengok permainan ni jadi hiburan je, sebab pelajar-pelajar perempuan dia bukan selalu sangat sepak bola. Tapi semangat tak mengaku kalah yang ada pada budak-budak ni buat aku banyak berfikir betapa sukan sebenarnya banyak membentuk perwatakan pelajar. Mereka main sampai nampak bintang, bak kata pengadil perlawanan. Penat ke, dah tak larat ke, mereka tetap nak teruskan, hingga pengurus pasukan kena tarik mereka ke bangku pemain simpanan, kalau yang hebat tu memang pengurus pasukan berbelah bahagi juga, sampai dah terjelepuk ditengat gelanggang, baru mereka mengalah.

Dan ya, kategori Futsal perempuan, semalam antara kenangan manis aku tahun ini, Hang Jebat menentang Hang Tuah, 3-2.Perlawanan memang 'fight' kata pengadil kami.

Jebat juara.

Ye, sayang..sekeping gambar pun aku tak ambil. Hingga kini terbayang-bayang aku wajah striker kami, pelajar kurus berkaca mata, yang selalunya aku lihat kelam-kabut je dikelas, tapi digelanggang..sekali dia dah dapat bola, penjaga gol akan gelabah.

Minggu depan 23-26hb April, aku akan mengiring pasukan Silat Olahraga sekolah ke kejohanan Silat Olahraga peringkat negeri. Walla!

Tuesday, April 17, 2012

siapa tak pernah dating?

aku! masa sekolah dulu aku tak pandai dating. yela orang tak comel..manalah pandai bab dating ni.

Tapi....ada kata orang tak manisla zaman remaja kalau tiada perkara macamni. Bagi aku senang je..yang penting tak melampaui batas.

Gambar pelajar ni aku ambil sebentar tadi..saja je. Mereka tengah ulangkaji pelajaran agaknya..dikantin tempat terbuka.

Namun andainya kalian adalah ibubapa kepada dua pelajar ni,kalian marah tak?


Published with Blogger-droid v2.0.3

Sunday, April 15, 2012

Malam seribu pendekar




Majlis ni dibuat pada 13hb yang lepas, semua sekolah yang mempunyai ko-ku silat, hadir menyertai acara yang gilang gemilang ini.

Pelajar-pelajar bersemangat nak hadir, ada yang sanggup beli baju silat yang berharga rm70, walaupun kami tak galakkan.

Namun moral dari pihak sekolah, walaupun pelajar amat ghairah nak menyertai, tapi ibu-bapa tak semestinya akan memahami..

Friday, April 6, 2012

Tarik ..buka!

Didalam entry aku yang lepas, aku ada cerita pasal dua orang budak nerd dalam kelas aku. Ming Sheng, mak ayahnya dah datang, laporkan anaknya dibuli. Aku rasa silap aku, bila Ming Sheng bisik pada aku yang ada beberapa pelajar sering mengejeknya, aku ambil mudah ..minta dia tidak hiraukan mereka. Ya, sebagai pelajar yang tak sempurna..disekolah dulu ejekan pada aku adalah perkara biasa.

Mak dan ayahnya lapor pada ku, ada beberapa pelajar lelaki cuba menggunting kaki seluarnya..dan juga membuka seluarnya didalam kelas.

Okay, bab ni memang agak melampau. Yela, buatnya betul-betul Ming Shen separuh bogel dalam kelas aku, apa aku nak jawab. Dan bagaimana kalau budak ni tak pakai seluar kecik? Okay..itu dah melampau.

Jadi aku terus lapor pada guru displin, dan pelajar yang terlibat telah dirotan sebagai tanda amaran.

Semalam, hari jumaat, aku terima lagi laporan, kali ni Chiun Wei pula yang menjadi mengsa kena tarik seluar. Eh....apa kena budak-budak lelaki ni obses tarik seluar orang ni.

Nak lapor pada guru displin, hari jumaat tu aku agak sibuk dengan relief dan siapkan rancangan mengajar.

Nanti ya, Zhong Yue harap cikgu tak lupa lapor ke cikgu displin minggu depan. Yep, nama kaki buli ni adalah Zhong Yue bukan nama sebenar.