Tuesday, May 31, 2011

cuti

Anak murid je cuti. Cikgu kena buat kelas tambahan dan juga tanda kertas.
Published with Blogger-droid v1.6.9

Thursday, May 26, 2011

Beberapa watak siri 2

Su Eugene, dia ni taiko kelas sejak Tingkatan 1. Pelajar-pelajar memang takut dengan dia. Dia pernah bersekongkol dengan Shaifuldin dalam satu komplot membuli Christopher ketua tingkatan kelas 1kt1 (kelas yang aku menjadi guru kelas tahun lepas, dan kini aku menjadi guru kelas 2kt1). Kerana komplot mereka, semua pelajar lelaki kelas ni kena rotan dengan cikgu mustafa kamal.

Dan dia juga memang akan berkeras tak mahu pindah tempat duduk sekiranya aku arahkan, terutamanya tahun lepas, sehingga aku terpaksa atur dan ubah kedudukan pelajar lain yang dia takkan buli, jauh dari dia. Masa tingkata 1 dulu memang paling payah. Ibu bapa mengadu pada aku anak mereka dibuli, dipukul dan juga diambil barang oleh geng Su Eugene ni. Aku kena susun betul-betul pelajar yang tak boleh dibuli sahaja yang duduk berhampiran dengan taiko yang seorang ni.

Tapi, taiko ni selalu takut dengan perjumpaan ibu bapa, selalu dia risau. Dia kata kalau exam dia teruk, mak dia tak bagi main bola keranjang. Dia minat betul dengan bola keranjang. Lalu aku buat perjanjian dengan dia, kalau dia dapat wakil negeri, aku akan belanja dia KFC. Kerana risau exam dan minat dengan bola keranjang, dia pulun dalam study. Cincai-cincai pun, dia akan buat kerja rumah, dia akan hantar semua kerja, walaupun dia yang akhir, walaupun dengan tulisan hampir susah nak dibaca.

Tingkatan 2, dia dapat masuk 2kt1, walaupun ramai cikgu jangka dia akan ke kelas corot. Tingkatan 2 dia lebih matang, kawan-kawan dia, Shaifuldin dan Wafi sekarang lebih menonjol dalam akademik, semua mereka ni budak nakal yang selalu membuatkan darah tinggi cikgu-cikgu yang mengajar..mencapai level tinggi.

Budak-budak yang dia buli dulu, jadi kawan dia, walaupun aku pernah nampak dia seligi kepala Sasikumar yang fokus ke tempat lain sewaktu sedang ajar dia math. Sasikumar pelajar baru, pernah dalam kelas aku tanya depan-depan pelajar lain, apa perasaan dia masuk ke kelas ni.

Sasikumar: Hm...I ..am..scared.
Terus Su Eugene menyampuk.

"Woi..aku tak buli kau kan..kau takut apa? Kau takut apa? Ha!! Cakap?"

Sambil Su Eugene bangun dan menunjuk jari tanda amaran pada Sasikumar. Tapi lepas tu dia bantai gelak kuat-kuat.

Dominic dan Yin Ho yang dia buli masa dia Tingkatan 1 dulu kini jadi rakan buat kerja rumah dia. Aku gemar tengok dia tekun buat kerja.

Awal tahun haritu, kerana dia tak mahu berubah tempat, aku letakkan pelajar perempuan yang pendiam, duduk sebelah dia, dengan harapan dia akan minta aku ubah kan tempat duduk dia. Tapi dia nampaknya selesa disitu. Aku beri amaran, kiranya dia buli Haliza tu, aku akan bawa dia ke bilik displin. Tapi sehari dua kemudian, aku lihat Haliza yang senyap dan pemalu tu, boleh senyum dan ketawa bila duduk sebelah taiko ni. Dan taiko ni nampak malu-malu bila bercakap dengan Haliza, tapi taiko ni sentiasa akan pastikan posisinya agak jauh dengan Haliza.

Satu hari aku berbual dengan taiko ni, waktu aku relief kelas.

Su Eugene: Teacher, saya ada 2 telefon, saya nak beli vivas pula.
aku: kenapa dua telefon, ni mesti ramai makwe ni.
Su Eugene: Takla, satu celcom, satu maxis. Makwe susah mahu cari.
Aku: You, susah cari makwe? Aiya..
Su Eugene: Budak cina perempuan, sombong, kasar..banyak kurang ajar, kalau cakap..haiya..keras dan kuat.
Aku: Hm..habis you mahu cari melayu?
Su Eugene: Tapi susah lorr..budak melayu taknak saya.
Aku: Kamu baik dengan Haliza?
Su Eugene: Ya..dia aa..kalau dia cina, saya mengurat dia, dia baik, pendiam..cakap pun lembut, untung woo..kalau dia cina..saya mesti nak dia.

Haha..

Dan dua hari lepas, masa waktu nak balik, 20 minit terakhir, setiap hari, pelajar muslim akn ke surau, jadi tinggal pelajar non-muslim saja di kelas, aku nampak taiko ni capai penyapu..sambil merungut dalam bahasa cina, rupanya dia nak menyapu..bersihkan tempat dia.

Aku rasa, taiko ni akan jadi taiko yang baik satu hari nanti.

Aku harap dia akan maklum pada ibu bapanya tentang hari perjumpaan waris, supaya aku boleh bertemu dengan ibunya yang selalu memarahi dia kerana risau dengan kenakalan dia, agar dapat aku maklumkan pada sang ibu, anaknya adalah taiko yang baik kini.

Monday, May 23, 2011

Trick

Aku: Eh, harni untuk pelajar melayu takder paper lepas rehat?
Cikgu LLC: Ye la.
Aku: Adeh, lepas ni kelas 1kt4, semua malay maa..takder paper, mereka mesti bising punya..
Cikgu LLC: Ya, saya jaga 1kt3 maa..1kt4 memang bising, ada cikgu pun bising.

Aduh, lepas rehat harini cuma paper exam untuk moral dan bahasa cina, jadi kelas 1kt4 yang semua melayu tiada paper, gila aaah..kalau nak mengajar mesti mereka bagi alsan tak bawa buku, nak buat games nanti gangu kelas lain yang exam. Terbayang aku wajah Ashraf yang tak senang duduk tu, yang boleh melompat dan buat breakdance depan aku dalam kelas. Dia bukan kurang akhlak, cuma nakal dan hyperaktif, bila diminta senyap dia akan minta maaf dan senyap selama 5 minit. Pernah satu hari seluarnya koyak di kelengkang, tak hairan lah melihatkan perangainya yang memang aktif. Kali pertama aku terperasan, aku senyap kan saja, hari kedua, aku bisik, dia senyum saja dia cakap jatuh dipadang. Hari ketiga, aku suruh dia tunjuk seluar tu dekat mak dia, minta mak dia jahit bila balik sekolah. Hari ke empat, dia malu-malu kucing cakap mak dia sibuk tak sempat jahit. Minggu depannya, dia dengan megahnya bagitahu, dia minta mak pada kawan sekelasnya yang kebetulan tukan jahit, jahitkan seluarnya. Aku syak dia cuma ada satu seluar sahaja, tak tergamak nak tanya pekerjaan mak ayahnya.


Lalu aku ke pejabat, minta kertas a4 dekat kerani sekolah, dalam 40 helai. Dan kemudian, bila loceng naik rehat berbunyi, aku pun ke kelas 1kt4.

Usai mereka ucap salam..aku pun memberi ucapan ringkas, sebelum mereka duduk.

Aku: Markah kamu rendah sangat, seorang sahaj yang lulus.

Mereka mula bising-bising bertanya siapa yang lulus. Aku senyap sahaja, sebaliknya beri arahaan seterusnya.

Aku: okay, ni ada kertas, saya nak kamu buat karangan Cita-cita 200 patah perkataan, saya akan tambah 5 markah. Kalau kamu tulis jujur dengan hati yang ikhlas.

Mereka mula bising kembali, kata mereka payah nak tulis 200 patah perkataan.

Aku: Dalam bahasa melayu lah..tulis, apa harapan kamu pada diri kamu sendiri.

Mereka bertepuk tangan.

Aku: Okay, siapa tulis paling ikhlas..apa yang mereka cita-citakan dalam hidup, saya akan tambah 5 markah.

Mereka pun tekun menulis macam jawab soalan exam. 30 minit pertama paling tekun. Kemudian bila tinggal 15 minit, mula mengetuk meja dan bermain pensel, Ashraf, anehnya amat diam dan tekun menulis.

Guru-guru yang lalu di koridor hairan melihat 1kt4 terlalu senyap..

Aku tahu, 5 markah amat berharga pada mereka, apatah lagi dengan hanya perlu menulis dalam bahasa melayu. Kebanyakan mereka amat lemah bahasa inggeris, banyak kertas dikembalikan kosong sewaktu exam, dengarnya.Tapi aku sebenarnya belum pun tanda kertas mereka, adeh..adakah tuhan ampunkan dosa aku. Namun 5 markah tu boleh kucari dari tulisan mereka dikertas karangan..

Saturday, May 21, 2011

Hari guru peringkat negeri

Semua cikgu pakai vogue, aku seorang je pakai sempoi dan simple. Disebabkan pakaian ni lah, aku selalu terasa misfit, menyampah pada majlis rasmi pun ada.

Friday, May 20, 2011

Thursday, May 19, 2011

Bila minggu peperiksaan

Sekolah sunyi..bila pelajar-pelajar tekun jawab peperiksaan. Tapi tunggulah 20 minit akhir, ..kalau kelas yang pandai..akan senyap..semak kertas jawapan, tapi kalau kelas yang hujung tu, alamatnya...bising ganggu kawan-kawan.

Taktik aku kalau ada kelas yang pelajar hyper, aku akan suruh pelajar tu duduk tempat guru, biar aku duduk tempat dia. Barulah terkulat-kulat senyum seorang sebab malu.

Tuesday, May 17, 2011

Hadiah hari guru

Hadiah hari guru bagi aku..adalah tanda ingatan dari murid yang berkemampuan. Tapi teringat aku, masa disabah dulu, kami akan dijamu makan ke setiap kelas, memang kenyang macam hari raya, dan makanannya biasanya adalah mee goreng dan kuih muih yang biasa didapati dipasar, paling best kalau ada air kelapa, perghhhhhhhh.. dan paling best adalah persembahan pelajar.

Tahun ni aku benar-benar terkejut bila dapat hadiah novel Harry Potter, rasa macam tak patut pun ada, aku tahu harga buku tu bukan rm10 atau rm20, kenapalah susah-susah, bersalah pula rasa.

Masa disabah dulu aku pernah dapat lukisan sajak yang indah kata-katanya, kata-kata itu amat menyentuh hati aku.

Bagi aku, ingatan adalah..hadiah yang paling berharga. Apa pun, dimana pun mereka..terima kasih dan maafkan salah silap cikgu.

Sunday, May 15, 2011

bila hari guru

Waktu hari guru aku selalu brdebar2. takut xdpt hadiah dr students,akn rasa trkilan,rasa aku ni teruk ke sampai depa xingat kat aku. kad ucapan buatan tgn pun jadila,suka bc apa pndpt mrk ttg aku. tp bila dpt apa2 hadiah,aku rasa segan pula sgt.bagus sgt ke aku ajar sampai bleh dpt hadiah dr anak murid..

Friday, May 13, 2011

LDP adalah bosan

ldp adalah latihan dalam perkhidmatan,ianya adalah sesi dengar ceramah yang membosankan.

Thursday, May 12, 2011

Beberapa watak siri 1

Aizat, pelajar yang lambat masuk mendaftar disekolah aku. Aliran agama, budak nya kecil saja, maaf..mengingatkan aku pada gecko. Awal sekolah dulu, asyik tertinggal barang. Bila ditanya mana buku, jawabnya belum beli. Masuk bulan kedua, aku minta juga dia beli, satu pun jadilah. Orangnya kurus, tapi matanya bulat dan bundar, kulit sawo.

Dia juga asyik demam, tinggal di asrama, pelajar aliran agama wajib tinggal diasrama. Kerana dia bertubuh kecil dan kurus, kadangkala aku selalu risau kalau-kalau dia dibuli. Tapi dia ceria, amat ceria, jarang diam. Dan tak pernah malu kalau menjawab dengan jawapan yang salah, takut pun tidak. Aku suka perwatakan dia.

Bulan lepas, dia tak datang sekolah seminggu. Tanya kawan-kawan dia..seorang pelajar lelaki hampir separauh berbisik,. memberi jawapan aku.

"Dia kat hospital, kena bedah zakar, sebab bengkak"

Aku angguk saja. Tak silap aku tu penyakit angin pasang, adik aku masa kecik-kecik dulu pernah kena.

Dan bila dia kembali kesekolah, dia tetap Aizat yang aku tahu, ketawa dan kelakar. Walaupun dia selalu duduk seorang saja didepan. Dan masih macam dulu kemudiannya, selalu demam. Aku tanya dia, dia garu kepala, sambil seolah mengeluh.

"Entah cikgu, saya selalu demam, haritu operation ni"

Dengan tanpa segan dia cuba menunjuk bahagian bawah anatominya. Aku senyum saja, budak ni memang kelakar.

Harini, kelasnya kelas akhir sebelum pulang, pen marker aku semua dah kehabisan dakwat, aku mengetuk-ngetuk pen marker, hai...tiada masa nak mengisi dakwat pen, asyik lupa saja. Bersusah payah juga aku menekan pen ke papan putih agar tulisan aku masih terang. Tiba-tiba Aizat datang disisi aku, menghulurkan pen marker.

"Dah kabur dah tulisan cikgu"

Dia berwajah selamba.Hulur pen kepunyaan dia. Hai...sejuk perut mak nya mengandungkan dia.

Wednesday, May 11, 2011

Kenapa kena membenci?

Semalam aku buat ujian lisan, english. Kelas 1pk4 ni kelas akhir dalam aliran PK(Kemahiran Hidup perdagangan) budak tingkatan 1 kelas akhir memang selalunya agak mencabar, dan sekolah aku pula memang overcrowded (yeah 1 lagi sebab tidak mengundi pada tahun ini, awat gomen tak buat lagi sekolah menengah, tapi dok buat benda lain yang tak faedah), kelas semuanya 38 orang, saja taknak cukupkan 40 orang. Padahal optimum adalah 25 orang pelajar 1 kelas. Kesannya, pelajar pening cikgu pun pening.

Buat ujian lisan pada kelas 1pk4 memang mencabar, sebab kalau bagi latihan pun depa bising, dan aku pula kena fokus pada pelajar yang sedang aku temu bual tu.

Jadi selalunya aku akan minta seorang yang paling bising, untuk tengok siapa yang bising, silih berganti diri didepan kelas.

Tapi harini ada seseuatu yang aku kesan. Pelajar cina akan panggil pelajar melayu,walaupun kawan sebangsa mereka bising, begitu juga sebaliknya.

"Nashriq, kenapa kamu tak panggil Hafizul yang sedang menyanyi tu?"

Dia sengeh, sebaliknya dia memanggil Choon Seng. Dan bila giliran Choon Seng pula, dia akan panggil pelajar melayu lain pula.

Lima minit lagi kelas nak berakhir, aku berdiri, berpeluk tubuh dihadapan kelas.

"Kenapa kamu racist?"

Mereka tenganga, yelah pertama kali dengar perkataan tu agaknya. Ye, aku kenalkan istilah tu walaupun aku benci dengan istilah tu.

"Perkauman,kamu perkauman, orang melayu benci orang cina, orang cina benci melayu"

Mereka mula tunduk diam, bila aku keraskan suara. Pedulilah, kalau lepas ni aku kena panggil dengan pihak pentadbir ke, sebab bincang hal ni dengan pelajar aku, ini realiti, kalau ini punca masalah, kau nak sembunyi mana, walaupun mereka masih muda, mereka kena tahu apa yang mereka dah buat.

"Kamu Soon Cheng, kenapa kamu benci pelajar melayu?"
"Mereka suruh kami balik Cina"
"Siapa?"
"Nashriq"
"Nashriq, kenapa kamu cakap macam tu?"
"Mereka kurang ajar cikgu, mereka maki2 cikgu melayu dan kami dalam bahasa mereka"
"Ooo..betul? Pelajar cina, betul kamu maki2 pelajar melayu dan cikgu melayu?"

Aku nampak wajah Yvonne kemerah-merahan seolah berang. Yvonne, sukar nak bertutur dalam bahasa melayu, dia banyak berbual dengan aku seboleh yang dia mampu dan kadangkala selamba cuba bertutur dalam bahsa mandarin dengan aku. AKu tahu dia cuba menafikan.

"Semua pelajar cina suka maki2 orang melayu ke? Kalau betul, semua pelajar cina ni biadap, jadi orang cina memang biadap, betul ke semua orang cina biadap?"
"Tak cikgu!! Kami tak buat, bukan semua kami macam tu"

Akhirnya Soon Kheng dalam susah payah dia bertutur bahasa melayu, boleh juga bersuara. AKu tahu kenyataan tu, aku cuma provok, nak tengok mereka ada rasa bersalah, atau bangga dengan hakikat itu. Bila mereka ada rasa bersalah, marah, bermaksud mereka juga tidak senang hati dengan kenyataan itu, mereka tahu itu bukan sessuatu yang baik.

"Pelajar melayu, betul ke kamu semua ni menyampah sangat dekat orang cina, taknak kawan dengan mereka, benci dengan orang cina, dan nak suruh mereka balik cina?, kalau ya, maksudnya kamu kurang ajar, biadap, tidak tahu hormat orang lain"

"Tak! Tak cikgu, Nashriq je yang macam tu"

Rafaina, gadis kecil, yang pernah kena gastrik dan berbalut tangannya sebab kena air panas akibat memasak didapur untuk adik-adiknya, kecil, dia kecil dan comel, putih, selalu aku usik sebagai kembar Afiqah, yang juga comel,kecil tetapi agak gelap sedikit, kedua-duanya suka senyum. Cuma Rafaina, selalu tidur dalam kelas dan tak bawa buku. Aku dapat rasakan, adik beradiknya ramai dan dia anak perempuan sulung, sindrom biasa.

Macam, Yvonne, Rafaina, juga keras menafikan, muka comel dia, ada juga kelihatan nak menangis dengan tuduhan aku.

"Cikgu, Nashriq dah kena rotan dengan cikgu Kamal sebab selalu cakap macam tu kat budak cina"

"Jadi, sampai bila kamu budak cina nak benci budak melayu dan kamu budak melayu nak benci budak cina? Kamu budak cina, ada pergi kantin kan? Makan, beli makanan kat orang melayu, kamu budak melayu, ada pergi kedai runcit kan? Beli dekat kedai cina?"

Mereka angguk.

"Jadi, kamu nak benci kenapa? Benci sampai gaduh, bila keluar sekolah bergaduh? Dah takder keje lain? "

Mereka diam.

"Kamu sebelum lahir, ada minta nak jadi cina? ada minta nak jadi melayu"

Mereka geleng kepala.

'Habis tu, bila kamu lahir, terus benci melayu, terus benci cina, tuhan yang jadikan kami cina, tuhan yang jadikan kamu melayu, habis kamu benci tuhan ke?"

Mereka diam.

Loceng berbunyi.

"Kalau saya dengar lagi budak cina gaduh dengan budak melayu dalam kelas, dua-dua saya hantar balai polis"

Dan aku keluar kelas.

Benci..aku benci kena berhadapan dengan situasi ni.

Friday, May 6, 2011

Sekolah ganti cuti deepavali

Sekolah ganti sabtu memang hampeh. Penat doh kerja 6 hari seminggu. Aku pula baru balik dari kejohanan Silat, selama 3 hari. Anak murid aku entah agaknya bergembira ketiadaan aku. Berkenduri akikah agaknya.

Sekali kena key in markah rupanya, harini pula due date, jadi malam tadi aku pulun habis, harini masa masuk kelas waktu pengurusan kelas, aku minta pelajar buat kerja sendiri, dan aku pulun key in markah.

Syed nampak muram je, aku tanya, tak sihat ke? dia senyum je pula. Awal sekolah dulu, syed ni selalu mengusik aku, dia manja dengan aku. Tapi sejak dia aktif dalam kegiatan ko-ku ni, nampak dia asyik letih je dalam kelas, dan haritu ujian pun dapat nombor tercorot.

Eugene pula, macam biasa, taiko kelas, berkumpul dengan kawan-kawannya, bila aku suruh senyap.Dia pun menjerit.

"Senyap, teacher suruh senyap..teacher, saya senyap,kan?"

Yela..

Rasionalnya blog ini

Aku seorang guru, tetapi orang selalu kata aku seorang yang gila-gila dan tak sesuai menjadi guru. Tetapi hakikatnya aku amat mencintai profesyen ini. Letihnya hanya tuhan yang tahu, banyak kerja disebalik kerja yang terpapar.

Dan pelajar-pelajarku banyak memberi kehidupan buat aku, telatah mereka, kadangkala 40 orang satu kelas buat aku menjerit dan tak lupa juga ketawa.

Jadi, aku dedikasikan blog ini buat diri aku yang seorang guru. Semuanya cerita tentang kisah aku seharian sebagai guru. Sejujurnya setulusnya.